Piala AFF: Yakin Harimau Malaya beri terbaik

Ahmad Faizal (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Khas Sukarelawan kepada Nermesh Singh A/L Gurbish Singh (tengah) pada Program Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2021 (HKBM2021) di Pusat Konvensyen Casuarina Meru hari ini. -Foto Bernama
Ahmad Faizal (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Khas Sukarelawan kepada Nermesh Singh A/L Gurbish Singh (tengah) pada Program Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2021 (HKBM2021) di Pusat Konvensyen Casuarina Meru hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan yakin skuad Harimau Malaya akan menampilkan prestasi terbaik pada kejohanan Piala AFF yang dijadual berlangsung pada Isnin.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pasukan kebangsaan telah membuat segala persiapan dan persediaan bagi mengharungi saingan tersebut.

Menurut beliau, dalam sukan bola sepak tiada yang mustahil untuk pasukan negara mencipta kejayaan pada edisi kali ini.

"Kita pernah tengok pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) melawan Kuala Lumpur City FC. Semua kata JDT akan menang, namun akhirnya Kuala Lumpur city berjaya merangkul kejuaraan. Begitu juga untuk pasukan bola sepak negara kita.

"Kita yakin persiapan telah buat, pemain telah berada pada tahap yang terbaik namun bola itu bulat, apa juga boleh berlaku," katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Peringkat Kebangsaan di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd Razali dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof.

Ahmad Faizal menggesa peminat bola sepak di negara ini supaya memberi sokongan kepada pemain dan pasukan yang akan membawa nama negara.

Katanya, sebarang keputusan yang dicatatkan sepanjang perlawanan tersebut perlu diambil perhatian dengan memperbaiki prestasi pasukan.

Artikel Berkaitan:

Pada kempen Piala AFF 2020, Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang dianggap ‘kumpulan maut’ membuka tirai kempen dengan menentang Kemboja pada 6 Disember, diikuti Laos (9 Disember) dan dua pertembungan epik menentang Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) bagi meraih slot ke separuh akhir.

Sejak dipertandingkan pada 1996, Malaysia hanya sekali muncul sebagai juara iaitu pada 2010 dengan menumpaskan Indonesia 4-2 secara agregat.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut berbangga dengan kejayaan pasukan Skuasy lelaki dan wanita negara yang cemerlang pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau berharap memontum kemenangan itu dapat dikekalkan dalam siri kejohanan antarabangsa seterusnya sekalicgus memastikan atlet negara mendominasi sukan berkenaan.

Skuad wanita negara berjaya merampas kembali gelaran juara Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia daripada Hong Kong, sekali gus mengesahkan status selaku pasukan terbaik benua ini.

Kejayaan Malaysia menewaskan juara bertahan 2-1 pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil pada Ahad turut menyaksikan Malaysia kekal sebagai pasukan paling banyak meraih gelaran berkenaan dengan kejuaraan kali ke-10.

Sementara itu, skuad lelaki negara turut cemerlang apabila menamatkan kemarau kejuaraan selama 13 tahun mengatasi India 2-1 pada final kategori lelaki.