11 pemandu mabuk ditahan

Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi JPST KL sejak Jumaat lalu hingga Ahad.
Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi JPST KL sejak Jumaat lalu hingga Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 11 individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi dijalankan selama dua hari bermula Jumaat hingga awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua individu berusia 24 hingga 53 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesemua tangkapan itu dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut seksyen yang sama," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, operasi bermula dari jam 9 malam (Jumaat) dan selesai jam 4 pagi (Ahad) di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

"Kita menahan enam lelaki berusia 15 hingga 21 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya dan melakukan aksi zig zag, roket, superman serta bersaing.

"Kesemua individu itu akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata, turut ditahan tiga penunggang motosikal berusia 17 hingga 46 tahun yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sarifudin berkata, secara keseluruhan sebanyak 298 saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 17 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Sarifudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT), Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana - mana balai polis berhampiran," katanya.