Perkenal teknologi AI dalam sektor kesihatan

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan akan memperkasakan sektor penjagaan kesihatan dengan melaksanakan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence (AI), tanpa menafikan kepakaran manusia, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Kita akui AI tidak dapat ganti atau menandingi kepakaran yang ada pada manusia. AI sebenarnya sekadar penghubung atau pemudah cara untuk sesuatu yang baharu.

“Kita akan terus menggunakan kepakaran manusia namun, pada masa yang sama kita tidak akan menafikan kepentingan AI,” katanya semasa berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian itu di sini hari ini.

Bagi tujuan itu, Dzulkefly berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan pakar dalam teknologi AI untuk meneroka kaedah bagi mengoptimumkan rantaian perkhidmatan di fasiliti kementerian.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Dzulkefly berkata, teknologi AI akan digunakan dalam program kesihatan antaranya memerangi denggi dan mengenal pasti tempoh masa menunggu bagi sesuatu perkhidmatan kesihatan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, kementerian sedang dalam pertimbangan untuk melaksanakan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam menggunakan teknologi yang ketika ini telah digunakan di beberapa negara antaranya Vietnam.

"Malu kita kalau Vietnam dalam masa dua tahun akan datang mempunyai EMR, sistem berkenaan juga telah dilaksanakan di negara Timur Tengah iaitu Turki.

Artikel Berkaitan:

"Turki bukan sahaja sudah laksanakan EMR tapi lebih daripada itu, mereka telah menggunakan HIMS (Hospital Information Management Systems) atau sistem pengurusan maklumat hospital,” katanya, sambil menambah Malaysia mempunyai keupayaan untuk melaksanakan EMR namun memerlukan sedikit masa bagi pelaksanaannya. - Bernama