PKPD pentadbiran di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan

Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) Kuala Pilah
Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) Kuala Pilah
A
A
A

SEREMBAN - Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) Kuala Pilah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran selama tujuh hari berkuat kuasa Khamis hingga Rabu depan membabitkan Kluster Intan Delima 2.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, tiada pergerakan keluar atau masuk dibenarkan sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

"Saringan akan dijalankan kepada semua individu yang bergejala sepanjang tempoh itu manakala saringan bersasar akan dilaksanakan kepada semua warga KMNS pada hari kelima bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19 sebelum ditamatkan tempoh kuarantin mereka.

"Satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menyelaras hal ehwal pentadbiran termasuk penyediaan makanan, kawalan keselamatan, pengurusan pembuangan sisa domestik dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Jelasnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menjalankan aktiviti disinfeksi di semua premis di dalam KMNS termasuk kelas, makmal, surau, koridor asrama dan lain-lain.

"Beberapa agensi bertanggungjawab seperti polis dan jabatan kesihatan akan melakukan pemantauan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi," katanya.

Beliau berkata, sehingga Rabu seramai 32 individu terdiri daripada pelajar dan pensyarah KMNS dilaporkan positif wabak itu.

"Kes indeks pertama dalam Kluster Intan Delima 2 dikesan adalah pada 21 November lepas membabitkan seorang pensyarah yang telah disahkan positif melalui saringan bergejala.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, beberapa siri saringan kontak rapat telah dilakukan dari 22 hingga 30 November dalam kalangan pelajar, pensyarah dan ahli keluarga malah ada dalam kalangan mereka yang didapati positif.

"Bagi memastikan perebakan jangkitan dapat dihentikan, saringan besar- besaran secara bersasar telah dilakukan terhadap 326 orang lagi pada Rabu lepas," katanya.

Jelasnya, individu yang positif diasingkan serta-merta di bangunan khas di KMNS dan ada dalam kalangan mereka dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Tampin, manakala seramai 105 kontak rapat sedang menjalani kuarantin di tiga buah blok kediaman kolej berkenaan.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, sebanyak 32 kes positif Covid-19 dilaporkan di daerah ini pada Khamis melibatkan kluster baharu, Kluster Intan Delima 2.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kes indeks membabitkan sebuah institusi pengajian awam, bagaimanapun situasi kes melibatkan kluster berkenaan adalah terkawal.