JKKP sita lokasi tiga pekerja melecur

Pegawai Penyiasat JKKP Perak menyita kawasan kejadian di sebuah kilang simen di Gopeng pada Khamis. - Foto JKKP Perak
Pegawai Penyiasat JKKP Perak menyita kawasan kejadian di sebuah kilang simen di Gopeng pada Khamis. - Foto JKKP Perak
A
A
A

IPOH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menyita kawasan kejadian tiga pekerja melecur disambar api di sebuah kilang simen di Gopeng pada Khamis.

Pengarahnya, Supian Alias berkata, sepasukan pegawai telah ke lokasi kejadian pada Khamis bagi menyiasat kejadian tersebut.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati majikan dalam proses mengeluarkan 49 tan habuk halus arang batu dari coal bin calciner.

"Ketika kejadian, pekerja-pekerja tersebut sedang menjalankan kerja pembersihan habuk halus arang batu di bahagian bawah coal bin calciner menggunakan semburan air.

"Percikan api dari sisa habuk halus arang batu yang jatuh dari coal bin calciner telah menyebabkan berlaku ‘flash fire’ sehingga mengakibatkan ketiga-tiga pekerja tersebut mengalami kecederaan melecur," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Menurutnya, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Supian berkata, pihaknya memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam kerana majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pekerja kilang simen cedera dalam kebakaran

Jelasnya, majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Pada Khamis, tiga lelaki dilaporkan cedera apabila tempat pengisar arang batu terbakar dalam kejadian di sebuah kilang simen di Kota Bahru, Gopeng.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Norzamri A Wahab berkata, sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi.