Tabung gas oksigen meletup punca tiga beranak melecur

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua tabung gas oksigen yang meletup menjadi punca tiga beranak melecur dalam kejadian kereta terbakar di Taman Industri Ringan Sri Mergong, dekat sini pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa dari Kampung Pinang, Pedu telah pergi ke lokasi kejadian untuk mengisi dua tabung gas oksigen bantuan pernafasan bagi kegunaan sendiri.

"Selepas mengisi gas, mangsa membawa dua tong gas terbabit ke dalam kereta untuk dibawa pulang ke kampung isterinya di Kempas, Johor.

"Secara tiba-tiba kedua-dua tong gas tersebut dipercayai meletup sehingga mengakibatkan kebakaran kenderaan jenis Proton Wira," katanya kepada media pada Selasa.

Jelas Ahmad Shukri, mangsa yang cedera parah dikenal pasti sebagai Tuah Omar, 54, dan anaknya, Muhammad Firdaus Syawal Abdullah, 5, kini dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Menurutnya, isteri mangsa pula, Noor Azlina Abu Bakar, 34, hanya mengalami kecederaan ringan di tangan dan sedang dirawat di Zon Kuning hospital tersebut.

Tiga beranak melecur selepas kereta yang dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, Alor Setar, pada Selasa.
Tiga beranak melecur selepas kereta yang dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, Alor Setar, pada Selasa.

"Bagaimanapun siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu," ujar beliau.

Pada Selasa, media melaporkan tiga beranak melecur selepas kereta yang dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, dekat sini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, kesemua mereka berusia antara lima hingga 54 tahun.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan kebakaran kenderaan jenis Proton Wira di lokasi kejadian pada jam 12.31 tengah hari.