PPZ-MAIWP terima zakat perniagaan berjumlah RM12 juta

Idris (tiga dari kiri) merakamkan gambar bersama tetamu kehormat yang hadir selepas Majlis Zakat Korporat 2021 yang berlangsung di Masjid Negara, pada Khamis.
Idris (tiga dari kiri) merakamkan gambar bersama tetamu kehormat yang hadir selepas Majlis Zakat Korporat 2021 yang berlangsung di Masjid Negara, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM12 juta dari 18 syarikat korporat menerusi Majlis Zakat Korporat 2021 yang berlangsung, pada Khamis.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, penganjuran majlis berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan kepada pembayar zakat yang memberi sumbangan bagi membantu asnaf di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, selain itu, program itu juga turut menjadi galakkan kepada syarikat-syarikat korporat lain untuk bersama-sama tampil menunaikan zakat perniagaan mereka bagi membantu golongan memerlukan.

"PPZ-MAIWP mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat korporat yang menunaikan zakat perniagaan mereka atas keprihatinan bersama bagi menggalas tanggungjawab untuk membantu asnaf memerlukan," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Masjid Negara itu turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad.

Antara syarikat yang menerima penghargaan menerusi majlis berkenaan adalah Alhijrah Media Corporation, CIMB Islamic Bank Berhad, Co-opbank Pertama Malaysia Berhad dan beberapa lagi.

Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, setakat November tahun ini, PPZ-MAIWP telah melakukan kutipan zakat sebanyak RM632.2 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu berjumlah RM584.3 juta.

"Saya menyeru semua umat Islam untuk segera menunaikan zakat sebelum 31 Disember ini bagi mendapat rebat cukai pendapatan di samping membantu lebih ramai asnaf memerlukan sewaktu pandemik ini," katanya.

Artikel Berkaitan: