X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

UniSZA, SPRM meterai MoU tubuh Kor SUAR

Azam (tengah) ketika hadir ke Majlis Penganugerahan Kehormat dan Surat Pelantikan serta MoU antara UniSZA dan SPRM. - Foto UniSZA
A
A

KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menawarkan Kursus Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Kor SUAR) kepada pelajarnya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan menawarkan kursus berkredit kadet SPRM di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah idea berani yang dikemukakan oleh UniSZA kepada SPRM.

"Penawaran kursus ini telah melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah di peringkat IPT. Sebelum ini, telah wujud kelab bersifat kesukarelawan untuk pelajar iaitu Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) yang menggerakkan aktiviti pendidikan anti rasuah di dalam kampus.

"Kini, diwujudkan pula kelab beruniform yang menawarkan kredit sebagai pelengkap syarat pengijazahan mahasiswa dan UniSZA menjadi universiti perintis pertama di Malaysia yang menawarkan kursus ini kepada pelajar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Penubuhan Kor SUAR itu adalah salah satu bidang kerjasama di dalam memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh UniSZA dan SPRM.

MoU ditandatangani oleh Naib Canselor UniSZA (Yang Menjalankan Fungsi), Prof Dr Fadzli Adam dan Pendaftar, Ismail Musa mewakili UniSZA manakala SPRM diwakili Azam serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Datuk Razim Mohd Noor.

Turut berlangsung pada majlis itu adalah penganugerahan pemakaian pangkat kehormat dan penyerahan watikah pelantikan yang merupakan julung-julung kali diberikan kepada ahli akademik di peringkat universiti.

Selain itu, turut diadakan adalah pemakaian epaulette kepada kadet Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah SPRM ambilan pertama UniSZA.

Menurut Azam, mahasiswa yang mendaftar untuk mengikuti kursus itu diharap agar berfikiran positif, berjiwa kental dan meneruskan perjuangan sehingga hari pentauliahan kelak.

"Mahasiswa yang berjaya menamatkan sesi hingga ke semester empat akan ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Remaja Bertauliah dan ini juga adalah nilai tambah kepada mereka apabila keluar untuk bersaing dalam mendapatkan pekerjaan nanti," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!