Kartel daging haram tersungkur

Pegawai operasi melakukan pemeriksaan kandungan pada kotak berisi daging sejuk beku yang dicurigai sumber halalnya di sebuah gudang pembekal di Senai, Johor.
Pegawai operasi melakukan pemeriksaan kandungan pada kotak berisi daging sejuk beku yang dicurigai sumber halalnya di sebuah gudang pembekal di Senai, Johor.
A
A
A

KEJAYAAN membongkar kegiatan kartel daging haram oleh Sinar Harian tidak akan berlaku sekiranya tiada koordinasi dan kerjasama jitu daripada pihak berkuasa.

Laporan khas dua muka surat disiarkan pada 23 November 2020 berkaitan kegiatan syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan menyeludup daging secara tidak sah ke dalam negara mendapat perhatian Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Siasatan dan risikan Maqis mengenai dakwaan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila sebuah lokasi yang disyaki menjadi tempat penyimpanan dan pengedaran daging import seludup berjaya dikesan di sebuah gudang di Senai, Johor.

Liputan berita kartel daging haram yang dihasilkan oleh kami menjadi semakin hangat apabila operasi berkenaan turut disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Maqis, Siti Nur Ahmad (tiga dari kiri) bersama pihak berkuasa yang turut serta dalam operasi bersepadu di sebuah gudang di Senai, Johor.
Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Maqis, Siti Nur Ahmad (tiga dari kiri) bersama pihak berkuasa yang turut serta dalam operasi bersepadu di sebuah gudang di Senai, Johor.

Pada hari pertama operasi, pihak berkuasa mengesahkan bahawa lokasi itu bukan sahaja menjadi tempat simpanan daging seludup haram, malah sindiket turut memalsukan label, jenama dan logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyiasat selepas menerima laporan mengenai aktiviti di gudang tersebut.

Ironinya, pemilik gudang berkenaan tidak mampu menafikan atau menyembunyikan lagi kegiatan jahat yang dilakukan selama ini.

Artikel Berkaitan:

Mereka akhirnya akur gudang tempat simpanan daging diperiksa dan disita untuk siasatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal

'Keadaan amat teruk, kami perlu dedahkan'

Wartawan Sinar Harian menang Hadiah Kajai

Sepanjang lima hari berkampung di situ, saya bersama rakan setugas, Muhammad Afham Ramli dapat melihat sendiri bagaimana anggota penguat kuasa memeriksa satu persatu kotak daging yang ada.

Kotak-kotak simpanan daging dibuka dan dilihat isi kandungan dengan keseluruhannya dianggarkan sebanyak 1,500 tan bernilai kira-kira RM30 juta.

Pihak JAINJ sendiri mengesahkan daging itu diragui dan sitaan kemudiannya dilakukan oleh KPDNHEP dengan setiap kotak yang disita akan dilabelkan dengan pelekat kuning khas.

Cabaran

Cabaran utama sepanjang operasi itu adalah bagi membuktikan bahawa aktiviti yang dilakukan di gudang berkenaan adalah salah dan boleh memudaratkan orang Islam kerana ia diedarkan secara meluas di kedai-kedai dan pasar raya di negara ini.

Maqis kemudian mengesahkan daging sejuk beku berkenaan dimport dari Brazil, Ukraine, Argentina dan China.

Selain itu, kartel berkenaan turut menciplak tiga jenama popular daging dari Australia.

Ketua Meja Jenayah Sinar Harian, Izwan Rozlin (lima dari kiri) dan wartawan, Muhammad Afham Ramli (dua dari kiri) bersama pegawai serta anggota penguat kuasa yang terlibat dalam operasi di Senai, Johor.
Ketua Meja Jenayah Sinar Harian, Izwan Rozlin (lima dari kiri) dan wartawan, Muhammad Afham Ramli (dua dari kiri) bersama pegawai serta anggota penguat kuasa yang terlibat dalam operasi di Senai, Johor.

Tindakan licik itu dikesan hasil penemuan kotak-kotak yang ditempah kartel dari sebuah premis lain dengan meniru jenama terbabit seolah-olah ia adalah tulen.

Isu berkenaan segera mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu sidang akhbar.

Zulkifli berkata, pemantauan ketat perlu dilakukan bagi mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan menyalahgunakan cop halal.

KPDNHEP juga mengesahkan siasatan mendapati 30 pusat pengedaran mempunyai kaitan dengan gudang yang diserbu dan tindakan diambil di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

Kesemua cawangan KPDNHEP di seluruh negara telah melakukan pemeriksaan bersepadu dengan Jabatan Agama Islam terhadap produk daging sejuk beku.

Polis mengesahkan antara negeri yang dikesan menjadi akses utama daging sejuk beku haram dibawa masuk adalah melalui Kelantan, Johor dan Sarawak.

Kejayaan

Akhirnya pada 10 Februari lalu, sebuah syarikat makanan sejuk beku, pengarah dan pengurus didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan bagi membekalkan daging sejuk beku pada awal Disember.

Izwan (dua dari kiri) dan Muhammad Afham (dua dari kanan) bergambar bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman (tengah) serta Pengarang Berita Sinar Premium, Zamri Rambli (kiri) dan Pemangku Ketua Unit Rasuah Busters, Asmaliza Mansor pada Malam Kewartawanan Malaysia.
Izwan (dua dari kiri) dan Muhammad Afham (dua dari kanan) bergambar bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman (tengah) serta Pengarang Berita Sinar Premium, Zamri Rambli (kiri) dan Pemangku Ketua Unit Rasuah Busters, Asmaliza Mansor pada Malam Kewartawanan Malaysia.

Ternyata isu yang kami bawa ini membuahkan penyelesaian dan membuka mata semua pihak.

Apa yang penting, isu ini bukan sekadar satu pembongkaran tetapi perjuangan terhadap umat Islam di negara ini.

Ia bukan sebuah cerita yang sengaja mahu disensasikan tetapi adalah satu permulaan bagi memastikan masyarakat terus dididik menghindari perbuatan jenayah dan salah guna kuasa yang akhirnya boleh membawa kepada kehancuran sebuah negara.

* Izwan Rozlin ialah Ketua Meja Jenayah Sinar Harian

(Pemenang Anugerah Kajai dan Pingat Emas Kategori Penyiasatan Cemerlang Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas)