Wartawan Sinar Harian menang Hadiah Kajai

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Anugerah Hadiah Kajai kepada Izwan Rozlin dan Muhammad Afham Ramli daripada Sinar Harian yang merupakan Pemenang Hadiah Kajai sebanyak RM30,000 berserta sijil dan trofi pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Anugerah Hadiah Kajai kepada Izwan Rozlin dan Muhammad Afham Ramli daripada Sinar Harian yang merupakan Pemenang Hadiah Kajai sebanyak RM30,000 berserta sijil dan trofi pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan penyiasatan 'Kartel daging haram' oleh Sinar Harian yang menggemparkan negara, dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai iaitu kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2020 pada Selasa malam.

Laporan tersebut disediakan oleh wartawan Sinar Harian Izwan Rozlin dan Muhammad Afham Ramli sekali gus membolehkan mereka membawa pulang wang RM30,000, sijil beserta trofi.

Hadiah kemenangan itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Malam Wartawan Malaysia 2021.

Lebih membanggakan, laporan itu juga diangkat sebagai pemenang hadiah Emas bagi Kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.

Mereka menerima hadiah RM10,000, sijil dan trofi bagi kemenangan itu.

Pada masa sama, Sinar Harian turut memenangi tiga lagi kategori yang dipertandingkan iaitu hadiah Perak bagi Dokumentari Video Terbaik.

Laporan Sinar Harian yang membongkarkan isu kartel pada November 2020.
Laporan Sinar Harian yang membongkarkan isu kartel pada November 2020.

Laporan bertajuk 'Yak kan putus asak' itu disediakan oleh Pasukan Premium Sinar Harian, Zamri Rambli, Nurul Riduan Nor Ashaha, Liza Mokhtar, dan Md Adib Md Yunos membolehkan mereka membawa pulang RM1,500 dan sijil.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Hadiah Gangsa kategori Kewartawanan Multimedia Cemerlang dimenangi Pasukan Premium Sinar Harian, Hafezdzullah Mohd Hassan, Suzana Hassan, Nurul Riduan Nor Ashaha dan Liza Mokhtar menerusi tiga laporan iaitu Orang asli Bateq melawan Covid-19, Kartel tukar daging haram jadi halal, dan Berakhirnya gelora politik Sabah.

Laporan Berita Cemerlang (Gangsa) pula dimenangi wartawan Sinar Harian, Nurul Riduan Nor Ashaha menerusi tiga laporan iaitu Rintihan dari tanah tinggi, Kaya raya jadi Youtuber, dan Penguatkuasaan kerusi keselamatan kanak-kanak, yang membawa pulang RM1,000 serta sijil.

Sementara itu, Bekas Ketua Pengarang Sinar Harian, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin, menerima Anugerah Khas MPI.