Kenaikan harga barang, rakyat tertekan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

DI saat keadaan ekonomi yang meruncing kesan daripada pandemik Covid-19 yang berterusan hampir dua tahun, isu kenaikan harga keperluan asas kembali menjadi igauan ramai.

Kenaikan mendadak harga barangan asas terutamanya makanan seperti ayam, ikan, sayur dan sebagainya memberikan kesan yang begitu besar buat rakyat.

Bukan sahaja kepada golongan berpendapatan rendah, tetapi juga mereka yang memulakan pekerjaan baharu atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik.

Situasi ini tentunya memberi tekanan besar kepada mereka yang perlu bergelut untuk meneruskan kehidupan masing-masing terutama yang mempunyai tanggungan besar dalam keluarga.

Dalam keadaan sekarang, setiap sen yang dikeluarkan daripada poket perlu dibuat dengan cukup berhati-hati meskipun untuk kegunaan barangan keperluan asas.

Justeru, ramai yang meluahkan kebimbangan jika keadaan tersebut berterusan menekan rakyat, apatah lagi apabila ada jangkaan yang mengatakan kenaikan tersebut berlaku secara mendadak antara 30 sehingga 200 peratus menjelang tahun depan.

Dalam situasi ini, Keluarga Malaysia meletakkan sepenuh kepercayaan dan mengharapkan agar pihak kerajaan segera campur tangan dalam menangani isu tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada Rabu turut mengakui terdapat peningkatan harga barangan asas ketika ini disebabkan berlakunya kenaikan kos pada pelbagai peringkat sebelum sampai kepada peniaga.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun menurut beliau, pihak kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengatasi masalah tersebut dalam masa terdekat.

Perhatian tersebut memberi sedikit kelegaan kepada orang ramai, namun dalam masa yang sama mengharapkan KPDNHEP lebih kerap membuat pemantauan harga bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Apa pun alasan dan faktor kenaikan harga barangan keperluan asas, pengguna atau rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa keadaan.