Bapa parah ditikam anak dengan gunting

Pesara cedera akibat ditikam anak lelakinya dalam kejadian di Taman Sungai Isap Murni pada petang Rabu.
Pesara cedera akibat ditikam anak lelakinya dalam kejadian di Taman Sungai Isap Murni pada petang Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara cedera parah akibat ditikam anak lelakinya dengan gunting dalam kejadian di Taman Sungai Isap Murni di sini pada petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 62 tahun cedera pada bahagian belakang dan perut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun ditahan hari kira-kira empat jam selepas kejadian.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan ketika sedang bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Pandan 1 di sini.

"Suspek yang turut positif dadah jenis methamphetamine mengaku menikam bapanya selepas mendakwa terdengar bisikan syaitan," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Wan Mohd Zahari
Wan Mohd Zahari

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari berkata, kejadian berlaku di hadapan rumah ketika mangsa dan isterinya mahu keluar membeli barang dapur.

Artikel Berkaitan:

"Secara tiba-tiba anaknya datang sambil membawa sebilah gunting lalu menyerang ibu bapanya itu sehingga berlaku pergelutan.

"Dalam pergelutan itu, suspek bertindak menikam mangsa dan terkena bahagian belakang badan dan perut," katanya.

Beliau berkata, kejadian disedari anak perempuan mangsa yang segera menyelamatkan ayahnya dan membawanya ke hospital.

"Suspek sempat masuk ke dalam rumah dan bertemu ibunya sebelum melarikan diri," katanya.

Tambah beliau, punca kejadian belum dapat dipastikan kerana suspek tiada masalah dengan ibu bapanya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Suspek yang memiliki 19 rekod jenayah lampau direman selama empat hari sehingga Ahad untuk siasatan lanjut.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan lengkap untuk cadangan pertuduhan ke suspek," ujarnya.