Bahas usul kenaikan harga barang di Dewan Rakyat, bukan Kamar Khas

Anwar pada Waktu Pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Anwar pada Waktu Pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang meminta supaya usul berkaitan kenaikan harga barang yang dibawa Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dibahas pada sesi persidangan Dewan Rakyat, dan bukannya dirunding secara terhad di Kamar Khas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usul itu melibatkan kepentingan orang ramai memandangkan kenaikan harga barang pada masa ini menyebabkan rakyat menghadapi kesusahan.

“Isu melibatkan harga barang tidak melibatkan hanya KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tetapi kementerian lain seperti Kementerian Kewangan, kementerian berkiatan ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Ini adalah krisis nasional, sebab itu ia tidak boleh dibincang di Kamar Khas kerana terbatas. Apakah ada jaminan bahawa keempat-empat menteri ini akan hadir di Kamar Khas?” katanya selepas Salahuddin mengemukakan usul itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Barang naik 'menggila', Anwar bawa ke Dewan Rakyat

Salahuddin bangun membawa usul itu selepas sesi soal jawab pada Khamis dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memutuskan usul itu dibincang di Kamar Khas pada waktu petang.

Pandangan Anwar disokong beberapa ahli Parlimen lain yang turut bangkit meminta keputusan bagi usul itu dirunding di Kamar Khas dikaji semula, antaranya Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mencadangkan supaya perbahasan peringkat Jawatankuasa untuk kementerian dihadkan sehingga 5.30 petang bagi membolehkan isu harga barang dibahaskan di dalam Dewan Rakyat.

Selain itu, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) pula berkata, perbincangan di Kamar Khas bersifat sehala kerana tiada aspek perbahasan dan perdebatan, manakala Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) meminta supaya cadangan Anwar dipertimbangkan kerana terdapat banyak aduan oleh rakyat dan peniaga kecil berhubung isu itu.

Artikel Berkaitan:

Menyokong perkara itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) berkata, perlunya ada ketetapan segera oleh Speaker bagi memberi gambaran bahawa institusi Parlimen sangat prihatin terhadap masalah dan kepentingan rakyat.

Salahuddin sebelum itu menarik perhatian Dewan Rakyat dengan membacakan usul itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan beliau mengatakan telah menerima surat rayuan daripada seorang peniaga kecil pada Selasa lepas meminta ia diserahkan kepada KPDNHEP agar harga barang dapat diturunkan.

"Sehubungan itu, antara isu yang menjadi perhatian saya adalah perkara ini perlu disegerakan kerana isu kenaikan harga barang asas seperti dilaporkan akhbar rasmi, dan saya dengar rintihan orang ramai, serta isu ini juga dibangkitkan ahli-ahli Parlimen di Dewan ini, maka saya rasa perlu mendapatkan maklum balas kementerian berkaitan," katanya.

Mohd Rashid kemudiannya memaklumkan usul itu boleh dirunding di Kamar Khas pada 2.30 petang kerana ia memenuhi tiga syarat iaitu melibatkan perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan. - Bernama