X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Warga emas hilang penglihatan selepas lahirkan anak kelima

Che Mas yang buta selepas melahirkan Siti Aishah pada tahun 1994.
A
A

Warga emas alami penyakit selaput mata hingga hilang penglihatannya

KOTA BHARU - Dunianya menjadi gelap selepas melahirkan anak kelima 27 tahun lalu.

Che Mas Awang, 67, yang menetap di Kampung Bunga Mas, Penambang Hilir, di sini asalnya seperti individu normal lain namun menghidap penyakit selaput pada mata yang kronik hingga menyebabkan dia buta.

Ibu tunggal itu berkata, keadaan yang dialami olehnya itu disedari sejak usia muda apabila penglihatan mula terganggu dan kabur pada waktu malam.

Siti Aishah melihat mata ibunya, Che Mas yang ditutupi selaput sepenuhnya hingga menyebabkan wanita itu kini buta.
Siti Aishah melihat mata ibunya, Che Mas yang ditutupi selaput sepenuhnya hingga menyebabkan wanita itu kini buta.

“Dahulu saya boleh melakukan pelbagai kerja termasuk bekerja di kilang tembakau, mengambil upah sebagai pengasuh menjaga kanak-kanak dan bekerja membersih rumah.

“Pada tahun 1994, saya lahirkan anak yang kelima dan sempat melihat anak saya membesar sehingga usianya lima bulan.

“Selepas itu, mata saya semakin kabur sehinggalah dalam tempoh tiga tahun saya buta sepenuhnya serta sudah tidak tahu lagi bagaimanakah rupa anak-anak dan cucu sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Rabu.

Che Mas (empat dari kiri) bersama anak sulung, Zaidah (kiri), Sakinah (dua dari kiri) dan Siti Aishah (kanan) serta dua cucunya di rumah mereka di Kampung Bunga Mas, Penambang Hilir, Kota Bharu.
Che Mas (empat dari kiri) bersama anak sulung, Zaidah (kiri), Sakinah (dua dari kiri) dan Siti Aishah (kanan) serta dua cucunya di rumah mereka di Kampung Bunga Mas, Penambang Hilir, Kota Bharu.

Katanya, dia kematian suami pada tahun 2015 dan tinggal 10 beranak di rumah tersebut dengan dua daripada anak perempuannya sudah berkahwin termasuk anak kelimanya, Siti Aishah Jaafar, 27, yang kini mempunyai seorang anak berusia dua tahun.

“Saya menerima bantuan warga emas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 manakala anak ketiga, Sakinah, 39, juga ibu tunggal tiga anak berusia 8 sehingga 17 tahun yang turut menerima bantuan persekolahan JKM RM450.

“Tiga lagi anak berusia 42, 40 dan 36 tahun belum berkahwin dan turut tinggal bersama di rumah yang lantainya sudah reput ini,” katanya.

Sementara itu, Siti Aishah berkata, urusan harian ibunya dibantu oleh kakak sulung, Zaidah, 42, termasuk menyediakan makan dan minum manakala suami Siti Aishah, Mohd Aiman Razali, 28, mencari rezeki sebagai buruh kasar yang turut terjejas pendapatan kerana pandemik Covid-19.

Siti Aishah (kanan) membantu ibunya, Che Mas yang buta sejak 27 tahun lalu.
Siti Aishah (kanan) membantu ibunya, Che Mas yang buta sejak 27 tahun lalu.

“Dulu, ibu selalu mengadu kedua-dua belah matanya sakit sehingga ke bahagian atas kepala hingga kerap dimasukkan ke hospital.

“Kini, sudah tidak sakit tetapi kadangkala matanya itu mengalirkan air seperti menangis selain berat badannya susut,” katanya.

Ujar Siti Aishah, mereka sekeluarga sudah berusaha berubat termasuk melakukan rawatan laser namun mata ibu mereka sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

“Mata saya juga bermasalah seperti ibu tetapi saya masih dapat melihat. Cuma pada waktu malam saya hanya nampak cahaya lampu manakala siang tidak dapat mengecam muka seseorang dalam jarak yang jauh,” katanya.

Siti Aishah menunjukkan keadaan lantai rumah mereka yang reput.
Siti Aishah menunjukkan keadaan lantai rumah mereka yang reput.

Nasib mereka sekeluarga turut mendapat pembelaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Dr Izani Husin juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, yang sebelum ini telah membina dua bilik tambahan bagi keselesaan keluarga berkenaan.

Bagi yang ingin membantu boleh hubungi Siti Aishah di talian 017-9177542 atau salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0301041000255210 atas nama Che Mas Awang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!