Kemenangan bermakna buat keluarga Sinar Harian

Laporan Sinar Harian yang membongkarkan isu kartel pada November 2020.
Laporan Sinar Harian yang membongkarkan isu kartel pada November 2020.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Anugerah Kajai yang diraih wartawan Sinar Harian pada Malam Wartawan Malaysia adalah kemenangan kedua bagi syarikatnya.

Anugerah Kajai yang pertama dimenangi oleh wartawan Noraini Nordin yang berkhidmat untuk akhbar Watan juga diterbitkan oleh Hussamuddin.

“Kemenangan yang kedua ini oleh pasukan Sinar Harian menerusi laporan kartel daging haram yang dihalalkan adalah contoh terbaik bagaimana korupsi dan rasuah patut diperangi habis-habisan.

“Itulah yang telah dan sedang dilakukan oleh Sinar Harian iaitu mengisytiharkan jihad ke atas korupsi dan rasuah. Syabas team Sinar. Team Sinar adalah yang terbaik...,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan, Rozaid Rahman berkata, mencapai kemenangan adalah satu kejayaan tetapi untuk menguruskan kejayaan adalah cabaran yang sebenarnya.

“Pasukan ini telah menghasilkan satu cerita yang sangat luar biasa iaitu bagaimana menyalahgunakan kedudukan boleh menjejaskan bukan sahaja nama baik dan integriti jabatan yang terlibat tetapi juga menjejaskan kehidupan seharian masyarakat.

“Wartawan kami dengan beraninya bukan sahaja membongkar dan mendedahkan kepincangan ini tetapi hasil kerja mereka hari ini telah diiktiraf sebagai karya terbaik hadiah kewartawanan Malaysia.

“Satu cabaran besar untuk pasukan editorial kami terus menghasilkan cerita dan laporan yang setaraf dengannya, kerana pasukan yang memenangi anugerah ini telah meletakkan satu tanda aras atau standard yang tinggi untuk diikuti,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Gambar dari kiri: Hussamuddin, Farah, Rozaid
Gambar dari kiri: Hussamuddin, Farah, Rozaid

Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin pula berkata, kemenangan tersebut memberikan semangat kepada pasukan Sinar Harian untuk terus memperjuangkan kebebasan media dalam menyampaikan berita kepada rakyat.

Tambahnya, pengiktirafan itu juga menunjukkan kematangan penulisan wartawan Sinar Harian dalam menyampaikan berita yang telus dan tulus kepada pembaca.

“Tahniah kepada semua pasukan Sinar Harian di atas kemenangan ini, saya amat bangga dan berbesar hati.

“Kemenangan ini adalah pencetus semangat kepada kami untuk terus memberikan yang terbaik kepada para pembaca dengan laporan-laporan yang berkualiti dan kritis.

Tambah Farah, Kemenangan tersebut membuktikan kerja keras mereka dalam mendapatkan sesuatu berita untuk disajikan kepada rakyat bukan sahaja benar malah berbaloi.