ATM berjaya tangkis ancaman keselamatan siber: Ikmal Hisham

Ikmal Hisham Abdul Aziz - Foto Bernama
Ikmal Hisham Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua ancaman keselamatan siber yang dikesan setakat ini berjaya disekat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Beliau berkata, kesemua ancaman itu juga tidak menunjukkan sebarang petanda kritikal terhadap postur keselamatan rangkaian organisasi.

“Kementerian juga telah memastikan bahawa tiada sebarang ketirisan maklumat yang berlaku sehingga kini,” katanya ketika menjawab usul Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sivakumar mengemukakan usul mengenai keselamatan siber Kementerian Pertahanan termasuk strategi kementerian jika berlaku ancaman siber, langkah-langkah memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM dan melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara.

Ikmal Hisham berkata, pada ketika ini, corak serangan siber yang dihadapi oleh ATM secara umumnya sama dengan perkembangan ancaman siber di peringkat global.

Beliau berkata, landskap ancaman siber yang diperhatikan meliputi aktiviti risikan ataupun espionaj, jenayah dan haktivisme atau hackers.

“Ancaman kategori Advanced Persistent Threat (APT) bagi tujuan risikan merupakan ancaman utama yang dihadapi secara berterusan dan sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, kementerian sentiasa meningkatkan tahap keselamatan siber melalui beberapa rangka strategi termasuk menubuhkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP).

Artikel Berkaitan:

Katanya, BSEP berfungsi memperkasa dan memperkukuh fungsi dan tugas Pusat Operasi Pertahanan Siber atau dikenali sebagai Cyber Defence Operation Center (CDOC).

"Bahagian itu bertanggungjawab sepenuhnya kepada semua aktiviti berkaitan siber dan elektromagnetik yang merangkumi keselamatan komunikasi dan keselamatan siber.

“Ia juga akan meningkatkan keupayaan sedia ada CDOC dengan perolehan keupayaan pertahanan siber, latihan berterusan kepada anggota ATM berkaitan dan peningkatan kepakaran sumber manusia dalam bidang pertahanan siber,” katanya. - Bernama