X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

KPDNHEP kumpul maklumat punca kenaikan harga sayur

Mohd Ridzuan (kiri) sedang meninjau harga sayur di sebuah pasar raya di Bayan Baru pada Rabu.
A
A

BAYAN BARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sedang menyiasat untuk mengetahui punca kenaikan harga sayur.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, siasatan tersebut bagi mengenal pasti sama ada kenaikan harga berpunca daripada pengeluar, pemborong, penjual atau orang tengah.

Beliau berkata, maklumat berhubung perkara itu akan dikumpulkan sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita sudah mengeluarkan notis kepada pembekal dan pemborong. Sekarang kita sedang menunggu maklumat daripada mereka untuk melihat punca kenaikan harga sayur ini.

"Boleh jadi ia berpunca daripada orang tengah, tetapi kita kena melihat kepada data untuk diteliti dan disemak," katanya selepas meninjau harga barangan keperluan di Pasar Awam Bayan Baru di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sehingga minggu lalu, terdapat harga sayuran meningkat sehingga 100 peratus seperti kacang buncis.

Beliau bagaimanapun berkata, kenaikan harga beberapa jenis sayuran dijangka hanya bersifat sementara, malah sentiasa dipantau KPDNHEP.

"Harga sayuran ini bukan statik. Ia sentiasa berubah disebabkan beberapa faktor, antaranya cuaca. Disebabkan itu, kita sentiasa memantau dari minggu ke minggu.

"Oleh demikian, kita menjalankan Ops Pasar (Sayur 2) ke atas rangkaian pengedaran sayur daripada pengimport, pemborong dan peruncit di Pulau Pinang," katanya.

Mohd Ridzuan (dua dari kiri) sedang bertanya mengenai harga sayur-sayuran kepada peniaga di Pasar Bayan Baru pada Rabu.
Mohd Ridzuan (dua dari kiri) sedang bertanya mengenai harga sayur-sayuran kepada peniaga di Pasar Bayan Baru pada Rabu.

Tambah Mohd Ridzuan, terdapat juga sayuran mengalami penurunan harga seperti tomato yang turun sebanyak 43 peratus, brokoli (27.7 peratus) dan limau kasturi (31.5 peratus).

Mohd Ridzuan berkata, Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP melakukan kira-kira 100 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dan mengeluarkan 20 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPBM) dan 10 Notis Bertulis (NB) untuk mendapatkan harga sayuran menerusi Ops Pasar.

"Peniaga perlu mengemukakan maklum balas NPBM dan NB dalam tempoh dua hingga lima hari daripada tarikh penerimaan notis," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan berhubung isu sotong goreng yang dijual dengan harga RM100 di sebuah restoran terkenal di negeri ini.

"Kertas siasatan akan diserahkan kepada KPDNHEP Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.

"Berhubung sama ada berlaku pencatutan harga dalam kes ini, saya tidak boleh ulas," jelas beliau.

Selain itu, beliau berkata, restoran yang menjual hidangan kailan ikan masin pada harga RM18 juga dikehendaki memberikan maklum balas menerusi NPMB selewat-lewatnya pada Rabu untuk tujuan siasatan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!