'Saya belum dapat apa-apa pencalonan pimpin parti baharu' - Zuraida

Zuraida (dua dari kanan) melawat Stesen Penyelidikan Sungai Sari (SPSS) Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Padang Sanai di sini pada Rabu.
Zuraida (dua dari kanan) melawat Stesen Penyelidikan Sungai Sari (SPSS) Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Padang Sanai di sini pada Rabu.
A
A
A

PADANG TERAP - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin secara berseloroh menyatakan bahawa belum menerima sebarang pencalonan untuk mengetuai sebuah parti baharu yang dijangka dirasmikan pertengahan bulan ini.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, sesiapa saja bebas untuk menubuhkan parti memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi.

Beliau berkata, selagi penubuhan parti itu membawa kebaikan kepada negara dan rakyat, ia tidak ada masalah untuk ditubuhkan.

"Jadi kalau ada 10 atau 20 parti pun dan niatnya sama (untuk membawa kebaikan kepada negara), negara ini akan membangun.

"Tetapi kalau niatnya lain, negara ini takkan membangun," katanya selepas membuat lawatan kerja ke Stesen Penyelidikan Sungai Sari (SPSS) Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Padang Sanai di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai dakwaan beliau akan dilantik sebagai salah seorang pemimpin parti terbabit, Zuraida sekali lagi menjawab dengan nada berseloroh.

"Parti itu belum ada nama lagi, macam mana nak tau pimpin? Tak ada orang nak pimpin lagi, macam mana nak pimpin?

"Saya pun belum dapat apa-apa pencalonan (untuk memimpin parti). Kita semua ini walau dalam parti politik apa pun kena fikirkan untuk bangunkan negara dan membantu rakyat. Itu yang penting," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, sebuah portal melaporkan Zuraida yang merupakan bekas Naib Presiden PKR dikatakan bakal mengetuai sebuah parti baharu dikenali Parti Bangsa Malaysia.

Parti tersebut telah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 29 Oktober lalu dan antara individu lain yang dikatakan bakal memimpin adalah Ahli Parlimen Julau, Larry Soon@Larry Sng serta Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar.