Nahas Hawk: Mejar Mohd Fareez masih dirawat di HSJ

Juruterbang TUDM, Mejar Mohd Fareez Omar yang terselamat dalam nahas pesawat Hawk 108 di Butterworth, Pulau Pinang pada 16 November lepas dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
Juruterbang TUDM, Mejar Mohd Fareez Omar yang terselamat dalam nahas pesawat Hawk 108 di Butterworth, Pulau Pinang pada 16 November lepas dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Mohd Fareez Omar yang terselamat dalam nahas pesawat Hawk 108 di Butterworth, Pulau Pinang pada 16 November lepas dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ketika ini keadaan Mohd Fareez bertambah baik tetapi perlu dipantau rapi oleh pasukan perubatan dari semasa ke semasa berikutan kecederaan teruk pada tulang belakangnya.

Ditanya sama ada Mohd Fareez dibenarkan keluar hospital atau sebaliknya, beliau berkata, ATM tidak boleh menentukannya kerana Mohd Fareez masih menerima rawatan lanjut.

"Selain itu, jawatankuasa khas masih menjalankan siasatan terhadap kemalangan melibatkan pesawat itu sebelum mengambil tindakan susulan. Semua perkara itu memerlukan masa untuk penelitian menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kesihatan Mohd Fareez selepas menghadiri Majlis Pelancaran Aplikasi MyVeteranMall di sini pada Selasa.

Dalam nahas kira-kira 10.07 malam itu, juruterbang TUDM iaitu Kapten Mohamad Affendi Bustamy maut, manakala Mohd Fareez cedera selepas pesawat dinaiki mereka terhempas ketika sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth.

Sementara itu, mengenai persediaan ATM dalam menghadapi musim tengkujuh, Affendi berkata, ATM sentiasa dalam keadaan bersiap siaga di setiap zon dan lapangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, setiap anggota dan aset ATM akan digerakkan untuk penugasan musim tengkujuh mengikut keperluan.

Artikel Berkaitan:

“Berapa jumlah anggota dan aset saya tidak dapat katakan namun saya boleh maklumkan ATM sentiasa bersiap siaga di segenap tempat.

“Pada bulan ini cuaca tidak menentu. Kalau dulu kita tahu di kawasan pantai timur pada Disember selalu hujan, namun sekarang boleh hujan di mana-mana maka kita tidak boleh leka," katanya. - Bernama