Gesa keluar pekeliling wajibkan bahasa Melayu dalam agensi kerajaan

Tangkap layar kenyataan PENA pada Selasa. Gambar kiri: Mohamad Saleeh
Tangkap layar kenyataan PENA pada Selasa. Gambar kiri: Mohamad Saleeh
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menggesa Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengeluarkan arahan melalui surat pekeliling rasmi yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, kini pengabaian terhadap bahasa Melayu oleh GLC, agensi kerajaan termasuk institusi pengajian tinggi awam sudah berleluasa, seolah-olah ia tidak ada nilainya lagi sedangkan pekeliling kerajaan sedia menyatakan kewajipan tersebut.

Menurutnya, audit bahasa yang pernah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini tampak tidak berkesan kerana tidak disusuli tindakan yang sewajarnya.

“Tiada pihak yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan hukuman terhadap pihak yang mengabaikan arahan tersebut.

“Sepatutnya hasil daripada pemantauan audit bahasa disusuli dengan tindakan agar usaha tersebut tidak berlalu sia-sia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur agensi kerajaan, swasta dan GLC yang dilihat kurang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Saleeh turut berharap agar usaha pemerkasaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa dilakukan dengan lebih giat.

Katanya, pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu di luar negara juga hendaklah dilaksanakan dengan lebih gigih oleh DBP yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui pelbagai program yang dirancang secara bersama.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menguatkuasakan pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar dan tenaga akademik asing di universiti awam.

“Bukan sekadar mewajibkan pengambilan kursus bahkan perlu memastikan mereka boleh menguasai bahasa Melayu.

“Langkah ini akan menjadikan bahasa Melayu mendapat nilai ekonominya apabila semua pihak mahu mempelajarinya dan kemudian mereka menjadi duta bahasa Melayu apabila kembali ke negara masing-masing.

“PENA berharap kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri bersikap serius terhadap perkara ini memandangkan bahasa Melayu yang sudah termaktub kedaulatannya dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan semakin merosot nilainya di mata rakyat negara ini,” ujar beliau.