Kailan ikan masin mahal: Pemilik restoran tampil beri penjelasan

Sayur kailan ikan masin yang dibeli dengan harga RM18. (Kanan: Resit pembelian menunjukan harga kailan ikan masin RM18.)Gambar kiri: Kenyataan yang dikeluarkan pemilik restoran Anjung Ikan Bakar Nory berhubung isu berkenaan.
Sayur kailan ikan masin yang dibeli dengan harga RM18. (Kanan: Resit pembelian menunjukan harga kailan ikan masin RM18.)Gambar kiri: Kenyataan yang dikeluarkan pemilik restoran Anjung Ikan Bakar Nory berhubung isu berkenaan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Pemilik restoran Anjung Ikan Bakar Nory, di sini tampil menjelaskan isu sayur kailan ikan masin yang dikatakan dijual dengan harga tidak setara dengan kuantiti.

Menerusi laman Facebook restoran berkenaan, insiden berkenaan mungkin berlaku akibat salah faham yang tidak disengajakan daripada pihak restoran sewaktu menyediakan hidangan pelanggan.

Menjelaskan mengenai perkara itu, pihak restoran memaklumkan harga masakan kailan ikan masin mengikut saiz iaitu S berharga RM6, M (RM12) dan L (RM18) dengan memaparkan gambar menu restoran.

"Mungkin ada kesilapan yang tak disengajakan daripada pihak kami. Harap perkara itu tidak berlaku lagi.

"Kesilapan kami, mungkin juruwang kami tersilap memasukkan harga pesanan hidangan bersaiz besar (L) ataupun mungkin pesanan dibuat bersaiz besar tetapi pekerja bahagian dapur telah menyediakan hidangan tersebut bersaiz kecil (berdasarkan gambar yang tular)," tulisnya.

Sementara itu, pemilik restoran terbabit berkata, pelanggan yang berdepan dengan isu tersebut sepatutnya tampil bertemu dengan mereka secara terus dan tidak memuat naik di laman media sosial sehingga menjadi tular.

"Jika pihak kami silap, boleh datang terus bertemu kami untuk menyelesaikan isu ini dan bukannya ditularkan (di media sosial)," kata kenyataan itu.

Pada Ahad tular di media sosial harga sebungkus masakan sayur kailan ikan masin dijual pada harga RM18 di sebuah restoran di Kepala Batas, di sini.

Artikel Berkaitan:

Perkongsian itu dibuat seorang pelanggan di media sosialnya yang mendakwa harga masakan bagi seorang makan yang dibelinya itu terlalu mahal.

Pelanggan berkenaan memuat naik gambar sayur kailan ikan masin yang dibeli berserta resit pembayaran yang memaparkan harga RM18 bagi sebungkus sayur tersebut.

Perkongsian pelanggan terbabit mendapat perhatian ramai sehingga tular di laman sosial yang rata-rata mendakwa harga tersebut mahal.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang telah mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga sebuah restoran berhubung hantaran di media sosial mengenai hidangan kailan ikan masin pada harga RM18.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Mahalnya sayur kailan ikan masin'

Isu kailan ikan masin mahal: KPDNHEP keluar notis kepada peniaga

Dalam kenyataan pada Isnin, KPDNHEP Pulau Pinang dilaporkan berkata, peniaga itu perlu memberi maklum balas berhubung NPMB dalam tempoh dua hari bekerja bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

"Berikutan itu penguat kuasa kami telah pun ke lapangan (restoran) untuk menyiasat aduan itu semalam (Ahad) dan mengeluarkan satu notis NPMB kepada peniaga restoran berkenaan dan (mereka) perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari kepada KPDNHEP Pulau Pinang," menurut kenyataan itu.