Bahasa Melayu duduki tangga ke-10 popular di dunia

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Perasmian Malam Kemuncak Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021 di Dewan Sultan Iskandar UTM pada Ahad. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Perasmian Malam Kemuncak Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021 di Dewan Sultan Iskandar UTM pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana Bahasa Melayu bukan sahaja masih diguna pakai di peringkat antarabangsa tetapi menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, akan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi termasuk Bahasa Melayu.

"Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia.

Keadaan ini tidak berlaku kepada semua bahasa utama dunia kerana terdapat bahasa yang lenyap ditelan arus globalisasi, manakala sebahagian yang lain berhadapan dengan ancaman kepupusan,” kata beliau ketika berucap merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, Malaysia seharusnya bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku kepada Bahasa Melayu memandangkan semuanya hasil kesepaduan rumpun Nusantara yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam selaku pendukung utama.

"Dengan itu, adalah tidak mustahil jika bilangan penutur Bahasa Melayu di dunia ini, yang sekarang ini sudah pun melebihi 300 juta orang, malah akan lebih berkembang, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan ‘lingua franca’ Bahasa Melayu,” kata beliau.

Perdana Menteri bagaimanapun menegur trend masa kini yang menyaksikan program swasta, malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi kerajaan yang tidak menggunakan Bahasa Melayu.

"Mesyuarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris.

Artikel Berkaitan:

Malah, penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini menjadi lumrah dengan tidak juga menggunakan Bahasa Melayu.

Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan Bahasa Melayu selepas ini.

Siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan kita sendiri,” kata beliau.

Kata beliau, kerajaan mahu mengulangi sejarah kegemilangan Bahasa Melayu, dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa abad ke-21.

"Kerajaan komited untuk memastikan dasar-dasar yang digubal menyokong usaha pemartabatan Bahasa Melayu.

Untuk itu, kerajaan sangat menggalakkan pelaksanaan program dan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan yang dapat menyemarakkan lagi roh kecintaan terhadap Bahasa Melayu,” kata Ismail Sabri.

PABM 2021 melibatkan penyertaan 78 peserta dari 36 negara, antaranya Bangladesh, Jepun, Uzbekistan, Mesir, Brunei, Mali dan Pakistan. - Bernama