PRN Sarawak: Bekas pemimpin, anggota PSB bertanding Bebas

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Dua bekas pemimpin dan seorang anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Ahad memaklumkan, mereka akan bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada 18 Disember depan.

Mereka terdiri daripada Datuk Sri Abang Aditajaya Abang Alwi yang merupakan bekas anggota Majlis Presiden PSB dan merangkap Pengerusi PSB Tanjung Manis dan Kuala Rajang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang.

Manakala dua lagi ialah bekas Timbalan Pengerusi PSB, Semop Mohamad Adnan Zulkeffli, bertanding di kerusi N.42 Semop dan anggota PSB Demak Laut, Khairul Datuk Ahmat bertanding di kerusi N.05 Demak Laut.

Perkara itu diumumkan Aditajaya pada pelancaran jentera pilihan raya bagi kerusi N.41 Kuala Rajang, N.42 Semop dan N.05 Demak Laut di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Mohamad Adnan dan Khairul serta penyokong masing-masing.

Menjelaskan tindakannya keluar dari PSB sebelum ini, Aditajaya berkata, mengambil keputusan itu kerana tidak bersetuju dengan terma dan syarat dikenakan PSB berkaitan kempen untuk PRN Sarawak.

Menurutnya, beliau dipaksa menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat peminjam wang untuk membiayai kempen beliau pada pilihan raya nanti, dan surat peletakan jawatannya telah diserah pada presiden PSB pada 18 November lalu.

“Atas alasan itu juga saya telah meletakkan jawatan serta menarik diri dari bertanding atas tiket PSB di kerusi N.41 Kuala Rajang,” katanya kepada pemberita sambil menambah beliau mempunyai prinsip dan maruah diri serta tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit.

Artikel Berkaitan:

Pada sidang media sama, beliau turut mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baru yang terbuka kepada semua kaum di Sarawak dengan nama Parti Barisan Rakyat (BR), dan permohonan pendaftaran akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas PRN nanti. - Bernama