Negeri Sembilan salur RM3 juta bantu usahawan mikro

Aminuddin (dua dari kanan) ketika menyampaikan sijil TUNS Plus kepada penerima.
Aminuddin (dua dari kanan) ketika menyampaikan sijil TUNS Plus kepada penerima.
A
A
A

NILAI - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM3 juta menerusi Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan Plus (TUNS Plus) yang bakal dimanfaatkan oleh 213 penerima.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, TUNS Plus adalah program baharu yang diperkenalkan pada tahun ini.

"Ia adalah bantuan pembiayaan dalam bentuk pinjaman mudah tanpa faedah kepada usahawan mikro.

"Selain TUNS Plus, kerajaan negeri sebelum ini telah memperkenalkan Program

Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang diperkenalkan sejak tahun 2019. Ia adalah bantuan pembiayaan dalam bentuk geran yang disasarkan kepada penjaja dan peniaga kecil di Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Nismilan Showcase di Nilai pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Jelasnya, Program TUNS yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya telah menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM12 juta kepada seramai 4,147 penerima.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 1,078 penerima telah mendapat manfaat melalui program ini pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM3 juta," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Program Nismilan Showcase, Aminuddin berkata, lebih 20 usahawan menyertai Nismilan Showcase 2021 yang diadakan selama 12 hari bermula 24 November hingga 5 Disember depan.

“Program ini dilihat mengetengahkan produk usahawan di negeri ini selaras mempromosi pelbagai produk seperti produk salai dan pelbagai produk lain.

“Ia selaras bagi meningkatkan sedikit kesedaran masyarakat bagi membeli barangan buatan Malaysia dan membantu usahawan yang terkesan dengan Covid-19 bagi mengembangkan pasaran produk mereka,” katanya.