X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Perak warta 1,741 hektar hutan simpan kekal baharu

Saarani menanam pokok ke-2 juta pada Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak: Penanaman Pokok ke-2 juta oleh Menteri Besar Perak bersama Ketua-ketua Jabatan dan Pengamal Media di Kompleks Latihan Perhutanan Sungai Siput (U), di sini pada Ahad.
A
A

SUNGAI SIPUT - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perak telah mewartakan kawasan berhutan seluas 1,741 hektar di negeri ini sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) yang baharu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kelulusan pewartaan tersebut dibuat melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sejak tahun 2017 sehingga 2021.

Menurutnya, kawasan berhutan yang terlibat dalam pewartaan HSK adalah di daerah Kinta, Manjung, Perak Selatan serta Larut Matang dan Selama.

"Kita dah luluskan cadangan 1,741.2 hektar di seluruh perak untuk diwartakan sebagai hutan simpan yang baharu, daripada itu termasuklah di Bagan Datuk di daerah Perak Selatan iaitu hutan paya laut yang diluluskan 139.21 hektar pada 15 November 2021.

"Maknanya sudah pun diputuskan oleh kerajaan negeri. Sebelum Sahabat Alam Malaysia (SAM) minta kita dah luluskan banyak tempat seperti di Manjung, Larut Matang dan Kinta," katanya kepada pemberita selepas Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak: Penanaman Pokok ke-2 juta oleh Menteri Besar Perak bersama Ketua-ketua Jabatan dan Pengamal Media di Kompleks Latihan Perhutanan Sungai Siput (U), di sini pada Ahad.

Hadir sama pada program itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusof dan beberapa ketua jabatan lain.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri tidak menetapkan jumlah pampasan yang dijanjikan kerajaan Persekutuan bagi negeri yang memulihara hutan dengan baik.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan jaminan mengenai pampasan tersebut ketika mesyuarat bersama menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

"Kita tidak akan menuntut perkara yang pelik-pelik, ia juga bergantung kepada kemampuan dan persetujuan kerajaan Persekutuan. Jadi saya tak pasti Jabatan Perhutanan Negeri dah buat perkiraan ke belum berapa pampasan yang perlu kita perolehi daripada kerajaan persekutuan.

"Atas sebab pengurusan hutan itu kita terlepas peluang untuk menjana pendapatan. Kita tak boleh tebang balak, kita tak boleh buat kuari, tak boleh melombong kerana nak menjaga hutan simpan. Jadi kerajaan persekutuan kena bayar baliklah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Saarani turut mengumumkan bahawa Perak telah berjaya mencapai sasaran menanam 2 juta pokok pada tahun 2021 seperti ditetapkan.

Katanya, sepertimana sasaran kerajaan persekutuan untuk menanam 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun, negeri Perak menyasarkan 10 juta pokok ditanam dalam tempoh tersebut dengan setiap tahun sebanyak 2 juta pokok akan ditanam sehingga tahun 2025.

Katanya, sasaran penanaman tersebut dilakukan bagi memastikan kelestarian alam sekitar di negeri ini.

"Itu komitmen kita ialah untuk tujuan kelestarian alam untuk generasi akan datang supaya generasi akan datang tidak menyalahkan kita kerana menggondolkan segala hutan dan penggondolan itu menyebabkan ketidakseimbangan dalam ekosistem alam semula jadi.

"Keadaan itu mungkin akan menyebabkan banjir, tanah runtuh, ketidakseimbangan yang saya sebutkan tadi antara keperluan oksigen manusia kerana oksigen itu didapati daripada tumbuhan hijau. Jadi kita buat ini kerana sayangi alam sekitar dan juga anak cucu cicit kita," katanya.

Ketika berucap pada program tersebut, Saarani menjelaskan terdapat seluas 3,613 hektar HSK yang diceroboh dan diteroka secara haram untuk pelbagai tujuan.

Katanya, pelaksanaan dan penguatkuasaan oleh Jabatan Perhutanan Perak serta agensi penguatkuasaan lain melalui operasi bersepadu sepanjang tahun ini mengesan 64 kes kesalahan hutan yang mana sejumlah 16 kes berkaitan aktiviti pencerobohan atau penerokaan hutan.

Pada 17 November lalu, SAM mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan kembali HSK di daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak bagi mengawal limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, di daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak sebelum ini terdapat HSK namun ia telah lama dimansuhkan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!