'Fikir dulu sebelum buat kerja tak betul'

Pheng Hwa pada sidang media, petang tadi.
Pheng Hwa pada sidang media, petang tadi.
A
A
A

IPOH – “Orang ramai yang nak buat kerja tak betul tu, fikir dulu. Polis sekarang bertindak sangat pantas.”

Itu reaksi Pengerusi Perbadanan Pengurusan Kompleks Yik Foong Khor Pheng Hwa bagi mengulas kejayaan polis memberkas seorang daripada dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian kecurian di tiga lot premis kompleks berkenaan, semalam.

Menurut Pheng Hwa, tindakan pantas polis nyata mengagumkan kerana suspek berkenaan berjaya diberkas dalam tempoh 24 jam selepas insiden kecurian berkenaan berlaku.

Katanya, polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dan seterusnya memberkas seorang lagi suspek yang masih bebas.

“Pada malam 10 Mac lalu, melalui rakaman kamera litar tertutup kita dapati kompleks ini telah dimasuki oleh dua individu yang tidak dikenali yang dipercayai menyelinap dan bersembunyi sehingga kompleks ini ditutup.

“Setakat ini, kita tidak dapat berikan butiran lebih lanjut kerana perkara ini masih dalam siasatan polis.

“Cuma kita mahu memberikan penghargaan kepada pihak polis, khususnya dari Balai Polis Pekan Baharu yang bertindak pantas setelah menerima aduan daripada pihak keselamatan kita sehingga tertangkapnya salah seorang daripada dua suspek berkenaan,” katanya pada sidang media, petang tadi.

Sementara itu, Pheng Hwa turut mengharapkan kerjasama daripada orang ramai untuk segera melaporkan kepada pihak keselamatan jika mendapati ada sebarang perkara yang mencurigakan berlaku di sekitar kompleks berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerjasama daripada orang ramai juga penting demi memastikan keselamatan dan juga kelancaran perniagaan di kompleks berkenaan.

“Kita juga kagum dengan tindakan pantas pihak keselamatan kita yang segera melaporkan mengenai insiden kecurian itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Oleh itu kita harapkan agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan untuk mengelakkan perkara yang sama berulang pada masa hadapan,” katanya.