PRK DUN Rantau: Dr S Streram wakil calon PH

Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram diumumkan sebagai Calon PH bagi PRK Rantau di Ibu Pejabat PKR hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PETALING JAYA - [ DIKEMASKINI ] Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram diumumkan sebagai calon PH bagi PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan pada 13 April depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti tersebut di sini, hari ini.

Streram merupakan pakar bius dan pemegang Ijazah Sarjana Anaesthesiology dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Menurut Anwar, pemilihan Streram dilakukan selepas mengadakan perbincangan khusus dalam Mesyuarat Biro Politik PKR sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan oleh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dalam perbincangan itu, barisan pimpinan meneliti beberapa faktor utama supaya calon yang mewakili PH disegani penduduk Rantau tanpa mengira kaum dan latar-belakang.

"Meskipun kini berdepan tekanan isu Melayu selepas UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama tetapi, perkara itu tidak mempengaruhi kami untuk turut sama meletakkan calon Melayu," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, dasar PKR tidak tertumpu pada Melayu sahaja sebaliknya, memperjuangkan semua kaum di negara ini.

"Sebanyak 27 peratus pengundi di Rantau terdiri daripada bangsa India. Justeru, tidak perlu timbul isu kewajaran PKR meletakkan calon India pada PRK DUN Rantau.

"Lagipun, beliau (Streram) calon terbaik berdasarkan kelayakan pendidikan dan banyak berkorban untuk parti sejak zaman Reformasi pada 1998," ujarnya.

PRK DUN Rantau pada 13 April depan adalah PRK yang ketujuh selepas PRU14.

PRK tersebut diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen yang difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.