Tiga lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM134,800

(Dari kiri) Pegawai Penyiasat JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Inspektor Shawal Hamad, Inspektor Nur Syahirah Safri dan Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di kawasan Seberang Perai Tengah pada 23 November lepas. - Foto Bernama

A
A
A

GEORGETOWN - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki dan merampas heroin serta syabu bernilai RM134,800 dalam tiga serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), dekat sini pada Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan sejak seminggu lepas, polis menyerbu sebuah rumah di Permatang Pauh, SPT dan menahan dua lelaki di situ.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 10 peket heroin seberat 171.35 gram (g) bernilai RM2,296, syabu seberat 13.25g (RM1,325) dan sembilan biji pil eramin 5 (RM135), sebelum kami menahan seorang lagi lelaki di tepi jalan di Bukit Tengah bersama heroin seberat 457g bernilai RM6,124.

“Susulan penahanan tiga suspek itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam dan merampas 4,125g bernilai RM55,275 dan dua ketulan mampat heroin base seberat 750g bernilai RM69,645. Kesemua dadah dirampas bernilai RM134,800,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Mustafa (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis heroin base, heroin dan syabu yang dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Sabtu. - Foto Bernama

Mustafa Kamal berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum membungkus kuantiti kecil dan mengedarkannya untuk pasaran di sekitar tanah besar Pulau Pinang sejak Jun tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi rangkaian sindiket pengedaran dadah itu, yang dipercayai masih berada di sekitar negeri ini.

"Ujian saringan air kencing ke atas tiga lelaki yang seorang daripadanya bekerja sebagai pemandu lori dan dua lagi penganggur itu didapati positif, dengan seorang suspek mempunyai 18 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Dalam siri serbuan itu, polis turut menyita barang kemas iaitu dua utas rantai leher dan dua bentuk cincin serta seutas gelang tangan yang kesemuanya bernilai kira-kira RM12,500 daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata, semua dadah dirampas itu boleh digunakan oleh 68,842 penagih dan tiga lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama