Penunggang motosikal cedera langgar kereta peronda polis

Penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
Penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
A
A
A

AMPANG - Seorang penunggang motosikal cedera selepas melanggar sebuah kereta peronda polis ketika melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kampung Pasir di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian jam 11.40 malam, anggota polis yang memandu kereta peronda jenis Proton di Taman Melawati telah terserempak dengan seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemandu kereta peronda polis menyalakan lampu ‘beacon light‘ sebagai tanda amaran dan mengarahkan penunggang motosikal itu berhenti untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya secara zig zag.

"Polis terus mengekorinya sejauh 500 meter sebelum dia mengubah haluan secara tiba-tiba dan terus melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta peronda," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Farouk berkata, akibat pelanggaran itu lelaki tersebut terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan di bahagian muka serta kepala.

"Lelaki itu dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan hasil semakan lanjut mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah," katanya.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.