X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Belum ada sebarang mesyuarat bincang PRU15 masa terdekat

Jalaluddin (dua dari kanan) ketika Program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma di Titi, Jelebu.
A
A

JELEBU - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengakui belum ada sebarang mesyuarat bagi membincangkan kewajaran mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke -15 dalam tempoh terdekat.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ketika ini terdapat banyak pandangan daripada pelbagai pihak sama ada pemimpin masyarakat dan belia UMNO berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, ada dalam kalangan mereka berpendapat bahawa PRU perlu dilaksanakan segera dengan mengambil kira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru- baru ini.

"Bagaimanapun, ada juga yang berpandangan tidak wajar diadakan berikutan keadaan semasa negara yang berdepan pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di sebuah stesen minyak di Taman Cempedak dekat Titi, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Pertang, Noor Azmi Yusof dan ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.

Jelasnya, kedua-dua pandangan itu akan dijadikan panduan oleh MKT dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan hal tersebut.

"Bagaimanapun setakat ini MKT belum membuat sebarang pandangan dan cadangan kepada kerajaan untuk mengadakan PRU awal atau sebaliknya.

"Keputusan merupakan hak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada mahu melaksanakan PRU awal atau sebaliknya kerana beliau sudah pasti mempunyai justifikasi sendiri melalui keputusan kabinet waktu yang sesuai untuk tujuan itu

"Sudah pasti Perdana Menteri akan mengambil kira semua aspek termasuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat sebelum membuat sebarang keputusan," katanya yang merupakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, tiada had isian minyak ditetapkan pada program selama dua jam di Titi pada hari ini.

"Program ini salah satunya bertujuan membantu penduduk khususnya di DUN Chennah dan program akan diteruskan selepas ini di semua DUN di dalam Parlimen Jelebu iaitu DUN Pertang, Sungai Lui dan Klawang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!