Kerajaan Selangor labur RM1.08 bilion bangunkan Sabak Bernam

Amirudin (tengah) membentangkan Mesyuarat Kedua Belanjawan Selangor 2022 pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2021 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Jumaat. - Foto Bernama
Amirudin (tengah) membentangkan Mesyuarat Kedua Belanjawan Selangor 2022 pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2021 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melabur sekitar RM1.08 bilion untuk pembangunan ekonomi di Sabak Bernam bagi memastikan sektor pertanian dan pengeluaran makanan di daerah tersebut dapat ditingkatkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan membangunkan Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan seluas 181.11 hektar di Sabak Bernam yang melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta daripada pihak kerajaan dan swasta.

"Pusat tersebut akan dilengkapi jeti pelabuhan bersaiz sederhana, kilang pemprosesan hasil laut dan agro makanan, kemudahan simpanan sejuk beku serta terminal pengangkutan.

"Projek-projek lain akan turut dibina iaitu pusat sembelihan ayam di Sekindi melibatkan pelaburan sebanyak RM15 juta; pembinaan kilang minyak sawit di Jelutong Jati sebanyak RM50 juta serta Pusat Logistik dan Perdagangan di Sungai Lang termasuk Hentian di Air Manis seluas 14.57 hektar dengan nilai pelaburan sekitar RM500 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bahawa prasarana di Kelong Paradise di Bagan Nakhoda Omar dipertingkatkan sebagai salah satu produk pelancongan dengan menjadikan kawasan sekitarnya sebagai taman ikan.

Selain itu, bangunan Hay Resort milik kerajaan Selangor akan dibangunkan semula dengan penyertaan pihak swasta dengan pelaburan sekitar RM20 juta bagi menyediakan kemudahan untuk pelancong berkunjung, melancong dan menginap di Sabak Bernam.

Artikel Berkaitan: