Penjenayah langgar sebelum larikan Mitsubishi ASX

SUV jenis Mitsubishi ASX milik mangsa yang dilarikan dua suspek.
SUV jenis Mitsubishi ASX milik mangsa yang dilarikan dua suspek.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua penjenayah bertindak melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik seorang lelaki sebelum melarikan kenderaan tersebut dalam kejadian di Jalan Besar Kepong, Kepong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, mangsa berumur berumur 25 tahun itu sedang memandu sebuah SUV jenis Mitsubishi ASX sendirian.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, SUV itu telah dilanggar sebuah kenderaan yang dinaiki dua suspek dari arah belakang.

"Mangsa kemudiannya berhenti di tepi jalan dan keluar dari kenderaan itu untuk melihat kerosakan yang dialami.

"Namun salah seorang daripada suspek telah bertindak menghampiri mangsa serta menumbuk mata kiri dan kepala mangsa sebanyak dua kali menyebabkan dia terjatuh di atas jalan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, sejurus selepas itu, suspek itu bertindak melarikan kenderaan milik mangsa.

"Kenderaan mangsa jenis Mitsubishi Asx berwarna putih, nombor pendaftaran BNT 3666 bersama beberapa barangan peribadi milik mangsa yang tertinggal di dalam kenderaan tersebut turut dilarikan suspek," katanya.

"Mangsa dibantu oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut dan telah dihantar ke Hospital Desa Park City Kepong untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak polis kini giat mengesan suspek serta kenderaan yang telah dilarikan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.