Kemenangan MCA di Melaka, isyarat penolakan DAP

Chee Boon
Chee Boon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kemenangan Barisan Nasional (BN) yang menyaksikan MCA kembali mendapat kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu dilihat sebagai isyarat awal penolakan masyarakat terutama kaum Cina di negara ini terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, keadaan itu turut menyaksikan polemik politik di negara ini kembali berubah dan sentimen rakyat yang sudah boleh menilai parti yang boleh berkhidmat.

"Daripada dahulu hingga kini, sama ada memegang jawatan atau tidak, MCA tetap menyediakan khidmat kepada masyarakat berbilang kaum. Ini berbeza dengan pemimpin DAP.

"Perkara ini ditambah dengan kebersamaan MCA dalam BN, bersama-sama berganding bahu dengan UMNO dan MIC. Perpaduan dan kerjasama yang perlu dipulihkan kembali di peringkat rakyat," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, pada Jumaat.

Dalam PRN Melaka pada 20 November lalu, calon MCA, Datuk Lim Ban Hong menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang manakala Ngwe Hee Sem memenangi kerusi DUN Machap Jaya.

Chee Boon berkata, keputusan dilakar BN di Melaka juga menunjukkan bahawa sokongan masyarakat di negeri itu termasuk kaum Cina telah kembali semula kepada BN dan ia perlu dilaksanakan di peringkat pusat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) kelak.

"Perpaduan antara kaum yang ditunjukkan dalam PRN Melaka itu perlu dikekalkan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kaum-kaum tertentu sebaliknya kepada masyarakat secara keseluruhannya.

"Masyarakat Cina sudah sedar bahawa hanya MCA yang dapat membela nasib mereka melalui kerjasama dengan UMNO dan MIC sebaliknya DAP lebih banyak bercakap besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berpendapat, sejak penubuhannya, DAP dianggap parti yang tidak mempunyai haluan selain hanya memikirkan cara untuk kekal berkuasa dan meraih undi dengan cara hasutan.

“Kalau nak bekerja, tidak perlu jawatan, sejak dahulu tengok berapa banyak kerusi mereka tetapi apa tanggungjawab mereka? Apa kerja yang mereka selesaikan berbanding hanya cakap di media sosial.

“Parti itu juga dilihat seperti mempunyai agenda tertentu dan ini sebenarnya tidak sihat untuk kita yang berpegang teguh kepada Rukun Negara. Jadi, masyarakat khususnya kaum Cina perlu kembali memberikan sokongan kepada MCA dan BN," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Analisis PRN Melaka buktikan PN punya pengaruh kukuh

ARTIKEL BERKAITAN:BN sah menang PRN Melaka