Pelantikan hakim antara dibincang dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257 di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
Hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257 di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257 hari ini membincangkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (LEPAI).

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan, pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan Timbalan Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya juga dibincangkan.

"Majlis juga telah disembahkan taklimat terkini mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang, dan mengenai keselamatan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

"Majlis juga telah mendengar taklimat mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 dan kedudukan semasa ekonomi negara oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama-sama dengan Timbalan Ketua Pengarah (Makro), Unit Perancang Ekonomi Datuk Dr. Zunika Mohamed," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum itu, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mempengerusikan mesyuarat itu bertitah bahawa Raja-Raja perlu melindungi amalan atau cara pemerintahan, melalui pendidikan dan hebahan yang meluas supaya difahami dan dihayati semua rakyat yang mula lupa dengan sejarah.

"Tindakan ini adalah perlu untuk melahirkan semangat kesatriaan dan patriotisma kepada rakyat Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, terutama kepada generasi muda yang akan datang agar mereka dapat mencapai satu political destiny, dalam dunia yang ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Oleh itu perpaduan dalam kalangan rakyat, dan kesedaran terhadap cita-cita dan prinsip Rukun Negara, sangat wajar dipupuk secara berterusan, kerana kekuatan kita dan sistem pemerintah cara kita sahajalah, yang dapat mengatasi aneka cabaran, yang akan ditempuh di masa hadapan," titah baginda dalam lafaz perutusan Pengerusi.

Sementara itu Sultan Sallehuddin dalam titah baginda, berharap agar keadaan hidup rakyat dan ekonomi Malaysia akan pulih seperti sebelumnya susulan pandemik Covid-19, serta negara dilindungi daripada malapetaka dan bencana di masa depan.

Artikel Berkaitan:

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Selain itu, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mesyuarat yang berlangsung di Istana Negara itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. - Bernama