X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Banjir Ampang: MB Selangor minta laporan lengkap

Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Laporan berkenaan insiden banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Ampang pada Isnin akan dibentangkan ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada minggu hadapan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan meminta laporan lengkap berkenaan kejadian berkenaan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan badan terbabit untuk mengenal pasti punca sebenar banjir kilat tersebut.

Menurutnya, pihak-pihak yang terlibat projek pembinaan berdekatan sungai di kawasan tersebut dan Loji Rawatan Air (LRA) Ampang Intake perlu bertanggungjawab supaya insiden tersebut tidak berulang lagi.

"LRA Ampang Intake memang kerap kali dilaporkan henti tugas kerana keladak, jadi hal ini perlu ditangani dengan segera, kalau tidak ia akan memberikan kesan yang buruk.

"Walaupun penutupan hanyalah sementara, tapi laporan henti tugas LRA tersebut diterima hampir setiap minggu dan setiap kali hujan lebat pasti akan berlaku penutupan ataupun gangguan terhadap operasi LRA itu.

"Kalau boleh dalam minggu depan ketika Sidang DUN, saya akan minta kepada MPAJ dan badan terbabit beri laporan," katanya ketika melawat tapak ekspo Program Pameran Penerbangan Selangor (SAS) di Pusat Penerbangan Subang SkyPark, Bukit Jelutong, di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, kerja-kerja membantu mangsa yang terlibat dalam insiden banjir akan menjadi keutamaan untuk beberapa hari awal ini.

Ujarnya, walaupun terdapat segelintir pihak yang menafikan punca banjir kilat disebabkan oleh projek kendalian mereka, namun kerajaan negeri akan mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut berdasarkan laporan yang bakal diterima.

"Kita perlu dapatkan maklumat yang tepat berkenaan masalah itu, puncanya di mana.

"Kalau ia melibatkan projek pembinaan itu, pastinya kita perlu tangani isu projek tersebut. Jika ia merujuk kepada pembinaan lain, kita perlu rujuk kepada pihak majlis dan sebagainya.

"Selepas menyelesaikan hal berkaitan kebajikan mangsa-mangsa banjir, kita perlu kenal pasti kerja tanah itu kerana kawasan yang dilanda banjir itu tidak termasuk dalam lokaliti titik panas," katanya.

Pada Isnin, beberapa kawasan di sekitar Ampang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama lebih satu jam pada lewat petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kawasan yang terlibat adalah Jalan Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan yang dinaiki air setinggi 1.5 meter akibat limpahan air dari longkang berhampiran kawasan berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!