Konsep Keluarga Malaysia tumpu semua kaum

Mastura Mohd Yazid
Mastura Mohd Yazid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konsep Keluarga Malaysia tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti sebaliknya meliputi semua kaum yang ada di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, ia jelas dengan usaha kerajaan yang merangkumi pelbagai bantuan prihatin rakyat meliputi aspek kebajikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur bagi mensejahterakan hidup dan memastikan pemulihan ekonomi negara berjaya.

“Krisis berkembar ini iaitu krisis ekonomi dan krisis kesihatan telah menyediakan peluang kepada kita untuk merencana semula pelan pembangunan negara untuk semua kaum, bagi membolehkan kekayaan negara dinikmati seluruh Keluarga Malaysia dengan adil dan saksama.

“Pegangan kerajaan untuk menerapkan falsafah Keluarga Malaysia dalam penggubalan setiap polisi yang dirancang adalah bagi memastikan matlamat akhir untuk menang bersama tercapai dan tiada yang ditinggalkan dalam perjalanan pembangunan negara sama ada dari segi pemulihan ekonomi atau pun kesihatan,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta Perdana Menteri menerusi dasar dan pelaksanaan yang dirangka kerajaan agar tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti tetapi meliputi semua lapisan kaum dan bangsa.

Mengulas lanjut, Mastura berkata, konsep dan falsafah Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos lalu dalam ucapan sulungnya, yang mana konsep itu diambil kerana ia lebih bersifat inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

“Konsep Keluarga Malaysia ini diterjemahkan dalam penggubalan dasar kerajaan yang menggariskan perancangan strategik secara komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam mengecapi nikmat pembangunan negara.

“Konsep ini merupakan aspirasi jangka panjang bagi melahirkan Keluarga Malaysia yang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi berlandaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPi) dan keberhasilan kebahagiaan (KHO) kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: