Dua lelaki ditahan disyaki tipu ubah suai dalaman rumah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki warga asing awal bulan ini kerana disyaki menipu pengubahsuaian dalaman rumah dan pembelian perabot serta barangan elektrik melibatkan sekurang-kurangnya 40 pemilik kondominium di sekitar ibu negara dengan kerugian RM84,550.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata, kedua-dua warganegara Singapura dan Bangladesh berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan di Jalan Kerinchi Kiri 2, Pantai Dalam, di sini pada 5 November lepas susulan polis menerima laporan penipuan ubah suai rumah.

Beliau berkata,mereka dipercayai memperdaya pemilik unit kondominium yang terdiri daripada golongan profesional menerusi modus operandi seperti menawarkan pakej ubah suai dalaman rumah, pembelian barangan perabot atau elektrik serta mendapatkan penyewa di rumah mangsa.

"Mangsa yang telah membuat pembayaran akan diberi gambar atau video perabot atau barangan elektrik dipasang di rumah mangsa seperti pakej yang ditawarkan namun mangsa kemudian mendapati perabot atau barangan elektrik yang dipasang tersebut telah tiada.

"Siasatan mendapati suspek telah membuka perabot atau barangan elektrik di rumah mangsa selepas menunjukkan gambar atau video, kemudian memasang barangan terbabit di rumah mangsa lain bagi memperdaya mereka," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Rabu.

Beh mendedahkan terdapat satu kes dengan mangsa menerima gambar ubah suai dalaman rumah telah siap 80 peratus namun sebaik mangsa tiba di rumah, suspek bertindak mengubah kunci rumah sehingga mangsa terpaksa memanggil tukang kunci.

“Apabila mangsa membuka pintu rumahnya, mangsa mendapati tiada sebarang perabot di rumah seperti gambar dihantar suspek,” katanya dan menambah pihaknya sedang mengesan seorang suspek utama sindiket itu yang berusia 47 tahun.

Beliau menjelaskan, kedua-dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Artikel Berkaitan:

Beh sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang pakej pengubahsuaian rumah dengan harga menarik dan membuat pengesahan yang ditawarkan tanpa bergantung kepada gambar-gambar yang ditunjukkan oleh kontraktor sebelum membuat pembayaran.

"Sebarang maklumat berhubung kes-kes jenayah komersial, sila hubungi IPD Daerah Sentul di talian 03-4048 2222 atau ASP Fitri Abdullah 011-1235 3551," katanya. -Bernama

TAG: polis, pengubahsuaian rumah, tipu, kondominium, beh eng lai