Sinar Harian menang Anugerah Khas Media

Wartawan, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan mewakili Sinar Harian menerima Anugerah Khas Media sempena Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020, bagi media cetak dan dalam talian paling aktif mempromosi aktiviti dan berita perdagangan dalam negeri.
Wartawan, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan mewakili Sinar Harian menerima Anugerah Khas Media sempena Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020, bagi media cetak dan dalam talian paling aktif mempromosi aktiviti dan berita perdagangan dalam negeri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sinar Harian berjaya memenangi Anugerah Khas Media sempena Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020, bagi media cetak dan dalam talian paling aktif mempromosi aktiviti serta berita perdagangan dalam negeri.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada malam Selasa.

APDN 2020 julung-julung kali diadakan sebagai tanda penghargaan kerajaan di atas peranan penting yang dijalankan oleh pemain-pemain industri sebagai barisan hadapan ekonomi domestik negara.

Alexander dalam ucapannya berkata, APDN 2020 melibatkan sebanyak 25 kategori anugerah, meliputi Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS), Kedai Harga Patut, Francais, Jualan Langsung, Peruncitan, E-Dagang, Media dan Stesen Minyak.

“Diharapkan penganjuran anugerah seperti ini dapat menjadi pemangkin serta motivasi kepada barisan hadapan ekonomi agar bekerja dengan lebih gigih dan penuh kesungguhan pada tahun yang mendatang.

“Ia seterusnya dapat menggerakkan sektor peruncitan untuk kembali memberi sumbangan signifikan kepada pencapaian sektor perkhidmatan negara dan memberi penghargaan kepada mereka dalam membantu memulihkan ekonomi negara, khususnya semasa pandemik Covid-19 ini.

"Anugerah sebegini diharap dapat meningkatkan persaingan sihat dalam sektor peruncitan, PKS dan kepenggunaan, termasuk membina rangkaian hubungan baik dan memperluas kerjasama di antara kementerian dan pemain-pemain industri yang berkaitan," katanya.

Program itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Lima penerima anugerah utama ialah Fatihah Frozen Food Sdn Bhd bagi kategori produk terbaik, Mydin Mohamed Holdings Berhad yang memenangi penyertaan terbaik kategori Kempen Beli Barangan Malaysia dan Ecart Services Malaysia Sdn Bhd (Lazada Malaysia) sebagai Pengendali Pasar Dalam Talian Terbaik.

Selain itu, Global Art & Creative Sdn Bhd menjadi pemenang Francais Terbaik (Dalam Negara) manakala Shell Malaysia Trading Sdn Bhd diiktiraf sebagai Kedai Serbaneka Stesen Minyak Terbaik.