Benih padi IS21 bangunkan teknologi varieti padi

Benih padi IS21. - Foto Facebook MOSTI
Benih padi IS21. - Foto Facebook MOSTI
A
A
A

LANGKAH proaktif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenalkan benih padi IS21 yang menggunakan teknologi biak baka mutasi mendapat pujian banyak pihak.

Pengarah Syarikat Haji Md Nor Bin Haji Abd Rahmah (M) Sdn Bhd (HMN), Datuk Mansor Md Nor dalam kenyataan pada Isnin berkata, pengenalan padi itu dapat membantu pembangunan teknologi varieti padi di negara ini.

"Teknologi biak baka mutasi ini amat diperlukan untuk mempercepatkan pengeluaran varieti padi baharu yang mempunyai ketahanan kepada perubahan persekitaran seperti rintang penyakit dan perosak, tahan kemarau dan tahan banjir," katanya.

Pada Sabtu, MOSTI telah melancarkan teknologi benih padi baharu IS21 yang dapat membantu pesawah meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dengan anggaran hasil 35 peratus lebih tinggi dibandingkan dengan purata kebangsaan.

Benih padi tersebut dijana melalui teknologi nuklear dengan kaedah mutasi aruhan sinaran gama, telah dibangunkan atas inisiatif Nuklear Malaysia iaitu agensi di bawah MOSTI.

Dalam pada itu, pesawah muda, Khairul Amirin, berkata, pengenalan dan pembaharuan kepada varieti padi baru ini telah terbukti suatu inovasi yang amat baik dan mampu meningkatkan pendapatan pesawah melalui peningkatan hasil padi.

"Varieti baru ini mampu meningkatkan tahap imuniti dan kerintangan pokok terhadap penyakit dan perosak tanaman.

"Inovasi ini juga membuktikan agensi seperti MOSTI dan nuklear mampu melangkah ke era baharu dalam penciptaan varieti baru berdasarkan pengenalan kepada bahan nuklear untuk mendapatkan ciri-ciri yang sesuai dengan situasi dan keadaan padi negara.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, ia mampu memberi saingan kepada bekalan padi import yang ada susulan peningkatan kualiti yang memberangsangkan berbanding padi lokal dan import yang lain di pasaran tempatan," katanya.