Isu Hawk-Eye perlu dipandang serius

Datuk James Selvaraj
Datuk James Selvaraj
A
A
A

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) disaran untuk menyemak kembali penggunaan teknologi garisan Hawk-Eye yang didakwa pada ketika ini kerap kali menghasilkan keputusan yang tidak tepat.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, segala aduan dalam kalangan pemain mengenai Hawk-Eye

perlu dipandang serius biarpun kebiasaannya teknologi tersebut menghasilkan keputusan yang tepat.

Katanya, kegagalan badan induk badminton dunia berbuat demikian dikhuatiri akan menjejaskan akan memberi kesan kepada mental pemain seterusnya menyebabkan cara permainan mereka terganggu.

“BWF kena teliti dakwaan yang katanya teknologi Hawk-Eye tidak dapat buat keputusan tepat. Sebab sangat jarang untuk teknologi itu melakukan keputusan yang silap.

“Kalau betul Hawk-Eye itu silap, BWF kena melakukan sesuatu sebab ini satu perkara yang besar.

“Cuba bayangkan kalau pemain itu tengah cuba dapatkan mata yang kritikal tetapi dinafikan oleh Hawk-Eye sudah tentu mental mereka sudah tidak bagus dan akan jejas permainan yang seterusnya,” kata yang juga bekas pemain badminton negara ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu teknologi itu hangat diperkatakan selepas menghasilkan keputusan yang tidak tepat ketika kejuaraan Masters Indonesia yang melibatkan perlawanan separuh akhir beregu lelaki antara pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii menentang pasangan Indonesia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon.

Artikel Berkaitan:

Isu tersebut turut mendapat perhatian beberapa pemain handalan yang mendakwa kesilapan yang dilakukan Hawk-Eye bukanlah yang pertama berlaku malah pernah terjadi sebelum ini.

Sementara itu, BWF dalam satu kenyataan mengesahkan kesilapan yang dilakukan teknologi tersebut pada perlawanan berkenaan semasa tayangan rakaman pengesanan mengakibatkan data yang salah dipaparkan.

Katanya, Hawk-Eye Innovation yang merupakan syarikat pengendali teknologi telah membuat permohonan maaf kepada kedua-dua pemain terlibat.

“Hawk-Eye mengakui keputusan yang dibuat pada perlawanan itu salah dan memohon maaf kepada pihak yang terbabit, terutama kepada Gideon, Sukamuljo, Ong Yew dan Ee Yi termasuklah BWF.

“Kesilapan seperti ini sangat jarang berlaku dan kami amat kesali dengan apa yang telah terjadi dan akan memastikan kejadian yang sama tidak akan berulang kembali,” katanya.