Aspirasi Keluarga Malaysia bantu main peranan BN menang PRN Melaka

Tan Sri Profesor Dr Abdul Latif Abu Bakar
Tan Sri Profesor Dr Abdul Latif Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan dilihat membantu memainkan peranan terhadap kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penganalisis politik daripada Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Profesor Dr Abdul Latif Abu Bakar berkata, aspirasi tersebut dilihat amat membantu kepada pembangunan negeri Melaka.

“Konsep Keluarga Malaysia di mana kita berbilang kaum duduk satu meja berunding dalam kesatuan dan perpaduan sangat mempengaruhi pengundi di Melaka.

“Konsep ini juga turut membantu parti dalam kalangan orang Melayu bersatu begitu juga dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, Bajet 2022 yang diluluskan kerajaan juga banyak memberi faedah kepada rakyat terutama golongan B40 dan tidak dinafikan ia turut membantu BN untuk mendapatkan sokongan rakyat Melaka.

“Seperti yang kita tahu dalam pandemik Covid-19 ini, kerajaan sudah memberikan kemudahan dan insentif kepada rakyat dan ini merupakan satu usaha yang berjaya.

“Jadi dengan kemewahan negara yang diberikan kepada rakyat, ia ditonjolkan oleh BN sebagai kekuatan untuk menang di PRN ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, slogan Kestabilan dan Kemakmuran yang diperkenalkan oleh BN juga membantu untuk meraih sokongan pengundi.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat mahukan kestabilan politik dalam negeri di mana semua parti bersatu dalam satu gerakan, itu yang dinamakan kestabilan.

“Kita tidak mahu buang masa berpolitik, bergaduh tetapi kita duduk merancang duduk semeja, panggil semua orang untuk berunding memikirkan untuk menyelesaikan masalah negara dan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, kelebihan BN memenangi PRN tersebut disebabkan mempunyai visi Keluarga Malaysia dan Bajet 2022 yang menyatukan perpaduan semua kaum serta membina satu masyarakat yang penyayang.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my