Polis cari individu bertindak sebagai marsyal kawal lalu lintas

Polis sedang mengesan marsyal tular yang mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson. - Foto media sosial
Polis sedang mengesan marsyal tular yang mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson. - Foto media sosial
A
A
A

PORT DICKSON - Polis sedang mengesan beberapa individu yang bertindak sebagai marsyal dengan memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di sebuah lampu isyarat di sini seperti dipaparkan dalam video tular di media sosial sejak Ahad.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, rakaman video tular berdurasi satu minit 10 saat dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook menunjukkan aksi marsyal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong di sini.

"Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah. Tindakan marsyal itu dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak secara konvoi bagi melepasi lampu isyarat tersebut.

"Pergerakan motorsikal berkuasa besar ini dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke bulatan Sunggala, Telok Kemang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marsyal berkenaan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sesiapa yang memiliki maklumat berkaitan kejadian diminta beri kerjasama kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik atau menghubungi talian terus di talian 06-6472222," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihati kumpulan konvoi yang bergerak supaya tidak membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal, melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran mana-mana pegawai polis.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan ini boleh membahayakan kepada diri sendiri pengguna dan menyekat kebebasan bergerak di jalan awam," katanya.