PRN Melaka: Kemenangan BN bukti rakyat mahukan politik stabil

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu membuktikan bahawa rakyat negara ini khususnya di Melaka mahukan kestabilan politik agar pimpinan kerajaan yang dibentuk akan membawa kemajuan dan pembangunan jitu di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mandat yang diberikan itu merupakan tanggungjawab yang amat besar bagi para pemimpin yang telah dipilih untuk terus memulihkan negeri itu.

Menurutnya, kemenangan itu juga adalah pencetus kepada kemakmuran yang akan dinikmati seluruh rakyat di Melaka.

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka yang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada BN dalam PRN ini.

"Sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada kepimpinan, calon dan jentera pilihan raya yang telah bertungkus lumus siang dan malam demi memenangi hati rakyat untuk memilih BN," katanya melalui kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

Wan Rosdy berkata, dengan kembalinya BN menerajui kerajaan, semoga Melaka akan terus maju dan cemerlang.

Mandat kerajaan negeri Melaka menjadi milik BN setelah disahkan memperoleh majoriti apabila menangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Melaka pada Sabtu.

Artikel Berkaitan: