X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Buat kerja kampung kumpul duit untuk konvokesyen

Asmadi
A
A

BACHOK - Seorang graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sanggup melakukan pelbagai kerja kampung bagi menyelesaikan tunggakan pengajian berjumlah RM3,000 untuk membolehkannya mengikuti majlis konvokesyen.

Mohd Asmadi Zahari, 31, berkata, dia yang merupakan anak bongsu kini mengambil alih menjaga ibunya, Kamariah Awang Besar, 67, yang uzur selepas bapanya, Zahari Abdul Ruddin, 70, meninggal dunia dua bulan lalu akibat penyakit kencing manis.

Menurutnya, sebelum ini dia amat risaukan yuran pengajian yang tertunggak dan jika tidak menyelesaikannya dia tidak dapat mengikuti majlis konvokesyen.

"Saya cuba buat pelbagai kerja kampung seperti buruh pembinaan rumah dan membantu tukang paip, namun tidak berjaya kumpul wang untuk melunaskan hutang pengajian sebanyak RM3,000.

"Saya sebenarnya sudah reda jika tiada peluang mengikuti majlis konvokesyen, namun tiba-tiba dapat panggilan daripada UMK yang memaklumkan pihak universiti melunaskan hutang saya melalui tabung asnaf," katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan, Perniagaan dan Perdagangan.

Mohd Asmadi adalah antara graduan UMK yang menerima pengiktirafan graduasi di Istiadat Konvokesyen kali ke-10 dan 11 yang diadakan di UMK Kampus Bachok bermula Sabtu hingga 25 November ini.

Seramai 1,916 pelajar akan menerima graduasi bagi tahun 2020 dan 1,941 orang untuk tahun 2021.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan selepas ini, Mohd Asmadi yang tinggal di Kampung Gabus Tok Uban berkata, dia kini dalam proses menyiapkan kertas kerja untuk projek ternakan yang akan diusahakannya.

"Saya akan tumpukan kepada perniagaan kerana sebagai pelajar UMK, saya melihat dunia perniagaan sangat meluas dan gunakan ruang ini sebaik mungkin untuk mencapai cita-cita menjadi usahawan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UMK, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, untuk konvokesyen kali ini, pihaknya telah membantu seramai sembilan pelajar asnaf dan B40 yang tidak mampu melangsaikan yuran bagi membolehkan mereka bergraduasi.

Menurutnya, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 35 pelajar yang mana dikenal pasti sejak beberapa tahun lepas kerana tidak mampu menampung yuran bagi membolehkan mereka bergraduasi.

"Tahun ini kita ada inisiatif iaitu tabung khas untuk bantu pelajar yang sudah lulus, tetapi belum bergraduasi.

"Kepada pelajar UMK yang sudah tamat belajar, namun masih belum dapat bergraduasi sebab masalah kewangan, datang kepada kami, kita bincang dan selesaikan supaya boleh konvo dan dapatkan ijazah masing-masing untuk masa depan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!