X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Masa berkhidmat untuk rakyat

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN meraikan kemenangan besar dua pertiga majoriti bagi membentuk kerajaan negeri Melaka. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) membuktikan taring mereka apabila mudah menewaskan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan kemenangan mutlak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Keputusan di PRN Melaka itu juga menunjukkan rakyat Melaka masih marah dengan 'beberapa' YB (Yang Berhormat) yang melompat parti sehingga terpaksa diadakan PRN dalam keadaan negara masih berjuang menangani pandemik Covid-19.

Malah, peratusan keluar mengundi sebanyak 65 peratus juga dinilai kurang memuaskan dan tersasar daripada jangkaan SPR sekali gus menunjukkan ada protes yang mahu ditunjukkan oleh rakyat Melaka.

Beberapa kerusi panas yang melibatkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi penyebab pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kesemuanya tewas kepada BN.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang bertanding atas tiket calon PH di DUN Asahan terpaksa akur kepada calon BN, Fairul Nizam Roslan yang memperolehi 4,939 undi berbanding Idris sebanyak 4,192 undi.

Sementara itu, Datuk Noor Azman Hassan yang bertanding atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah) turut tewas kepada calon BN, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dengan 2,341 undi.

Bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee pula yang bertanding sebagai calon Bebas gagal mempertahankan kerusinya apabila sekadar meraih 1,218 undi berbanding calon BN, Datuk Kalsom Nordin yang mendapat 4,830 undi.

Satu lagi kerusi panas sudah tentu membabitkan calon Ketua Menteri PN iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin apabila tewas dengan memperoleh 3,195 undi berbanding calon BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan 3,558 undi.

Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut melihat kemenangan itu sebagai bukti rakyat kembali menyokong parti itu untuk memerintah Melaka.

Namun, kemenangan BN ini memberikan satu tanggungjawab besar buat mereka apatah lagi ini masanya untuk parti itu berkhidmat dengan lebih baik di Melaka.

Malah, harapan rakyat Melaka tentunya cukup tinggi iaitu tidak mahu lagi isu politik terus membelenggu negeri itu dan pihak pemerintah perlu menumpukan kepada pelbagai isu terutama kebajikan dan pendapatan rakyat yang terjejas teruk ekoran Covid-19.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!