Geran Cendana RM10 juta diluluskan sepenuhnya: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul - Foto fail Bernama
Tengku Zafrul - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Geran RM10 juta yang diperuntukkan di bawah Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana) menerusi inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) tahun lepas, diluluskan sepenuhnya untuk membantu menyara kehidupan rakyat yang terlibat dalam industri kreatif.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, geran itu adalah sebahagian daripada RM225 juta yang diperuntukkan melalui MyCreative Ventures Group untuk meningkatkan daya tahan ekonomi kreatif.

“Setakat hari ini, kita telah menyalurkan RM5.54 juta dana kepada 554 pekerja industri kreatif.

“Sebanyak RM8 juta lagi diperuntukkan kepada Cendana di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), telah diluluskan 82 peratus,” katanya ketika merasmikan ‘Pemulihan: Pembaharuan Exhibition, Fergana Art’ di Publika Shopping Gallery di sini pada Sabtu.