Litar lumba Sungai Petani bakal dibangunkan semula

Muhammad Sanusi (kanan) ketika membuat pelepasan Aras Niaga Off-road Challenge 2021 di Sungai Toh Pawang, Bedong, Kedah pada Sabtu.
Muhammad Sanusi (kanan) ketika membuat pelepasan Aras Niaga Off-road Challenge 2021 di Sungai Toh Pawang, Bedong, Kedah pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETAN - Kerajaan Kedah sedang melaksanakan rundingan bagi membangunkan semula projek litar lumba di sini yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rundingan membabitkan sebuah syarikat terkemuka, Open Road Asia dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Menteri Besar Incorporated (MBI) adalah bertujuan meneruskan projek terbabit sebagaimana pelan asal.

Menurutnya, setakat ini, fasa pertama pembinaan litar lumba yang terletak di Bandar Amanjaya itu telah berjalan dengan membabitkan kos RM10 juta sebelum ia terhenti setelah berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan negeri.

"Rundingan sedang berjalan untuk ubah Kebenaran Merancang (KM) selain kos membabitkan konsultan yang tinggi mencecah RM1 juta juga akan dibincang semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pembukaan Tapak Sukan Lasak Arasniaga Extreme Park (Anex) dan melakukan pelepasan Aras Niaga 'Off-road Challenge 2021' di Sungai Toh Pawang, Bedong pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pada peringkat awal, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi pembinaan litar lumba di Sungai Petani.

"Kerajaan terdahulu telah membuat kerja-kerja tapak membabitkan kos RM10 juta, kemudian datang kerajaan negeri selepas itu mengubah perancangan untuk menaik taraf pembangunan litar lumba mengikut standard antarabangsa.

"Konsultan yang dipanggil adalah dari Sepang International Circuit (SIC) yang membolehkan projek tersebut dirancang dengan lebih besar sehingga membabitkan kos mencecah RM70 juta," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, projek terbabit tidak dapat dilaksanakan berikutan kos yang terlampau tinggi termasuk lantikan konsultan yang membabitkan perbelanjaan hampir RM1juta.

"Tetapi baki peruntukan RM40 juta lagi tak mai (tidak disalurkan), menyebabkan projek terbabit terhenti.

"Oleh kerana projek terbabit sudah mendapat KM, tapak sudah sedia dan projek telah diluluskan, jadi amat baik sekiranya ia diteruskan.

"Keputusan saya ialah kita buat balik mengikut plan asal, sebuah litar untuk rakyat yang boleh dimanfaatkan oleh anak muda dan penduduk tempatan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesudian syarikat Open Road Asia yang telibat dalam pembangunan trek di Langkawi untuk berunding bagi meneruskan projek litar lumba di Sungai Petani, amat alu-alukan.