NGO harapan suara rakyat : Tun M

Dr Mahathir (tengah) pada Majlis Dialog Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia di Putrajaya Marriott Hotel di Putrajaya pada Sabtu.
Dr Mahathir (tengah) pada Majlis Dialog Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia di Putrajaya Marriott Hotel di Putrajaya pada Sabtu.
A
A
A
PUTRAJAYA - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini dilihat sebagai entiti penting bagi mempengaruhi keputusan kerajaan, seterusnya memainkan peranan dalam menyuarakan hak rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, ia disebabkan Dewan Rakyat sudah tiada lagi suara sebenar dan tidak mampu berbuat apa-apa walaupun mempunyai barisan pembangkang.

Malah, katanya, sekiranya undian dilakukan sekalipun tetap akan kalah kerana tidak mempunyai majoriti mencukupi.

“Apa yang kita ada sekarang hanyalah NGO. Sebab itu kita menghormati NGO serta peranan yang boleh mereka mainkan.

“Banyak lagi perkara-perkara yang perlu mendapat perhatian daripada NGO. Ia tidak perlu menumpukan kepada satu perkara sahaja, tetapi pelbagai perkara yang terdapat di negara kita. Umpamanya kalau kita mendapati jalan-jalan di negara kita tidak diselenggarakan dengan baik, NGO berhak untuk menegur.

“Kadang-kadang rakyat dikenakan cukai berlebihan. Itu adalah sesuatu tidak adil yang perlu mendapat perhatian daripada NGO. Orang-orang politik perlu mendengar suara NGO kerana mereka boleh mempengaruhi keputusan dalam pilihan raya,” katanya pada Majlis Dialog Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia di Putrajaya Marriott Hotel di sini pada Sabtu.

Dr Mahathir berkata, dengan hujah, undi dan pengaruh yang terdapat pada NGO, mereka boleh mengambil tindakan untuk membetulkan perkara tidak betul, menaikkan kerajaan berwibawa, adil dan baik, serta menjatuhkan kerajaan yang menipu, mencuri, menyamun dan menyalahgunakan kuasa.

Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, selain kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, ada dua lagi kuasa besar iaitu akhbar dan NGO.

“Akhbar mempunyai peranan cukup besar. Selain itu, NGO memainkan faktor kelima yang berkuasa dalam negara supaya negara ditadbir dengan baik.
Artikel Berkaitan:


“Kita ada lima kuasa dalam negara demokratik ini. Jika kelima-lima ini menjalankan tugas dengan baik, negara kita akan menjadi negara maju dan dapat dibangunkan supaya setaraf dengan negara-negara maju di dunia.

“Tapi jika mana-mana daripada lima kuasa ini tidak memainkan peranan yang baik, akan hancurlah negara kita. Itulah sebabnya kita menganggap NGO sebagai penting.

"Saya berharap di Malaysia, NGO tidak akan teragak-agak untuk menegur di mana kesalahan dilakukan,” ujar beliau.