Tujuh anggota RCI TH dipersembah kepada Agong Jumaat depan

Idris (tengah) menyerahkan sumbangan zakat TH kepada peniaga kecil terpilih yang terkesan akibat pandemik Covid-19 pada Majlis Serahan Program TH Prihatin di Pejabat TH Perak di Ipoh pada Sabtu.
Idris (tengah) menyerahkan sumbangan zakat TH kepada peniaga kecil terpilih yang terkesan akibat pandemik Covid-19 pada Majlis Serahan Program TH Prihatin di Pejabat TH Perak di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Senarai tujuh individu yang bakal dilantik menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, nama tujuh individu yang telah dipilih untuk menganggotai jawatankuasa RCI tersebut sudah dipersetujui kabinet.

Beliau berkata, senarai keanggotaan itu sudah dimuktamadkan dan hanya akan diumumkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Senarai itu telah dimuktamadkan dan akan dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuan mingguan dengan Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat depan.

"Selepas Seri Paduka Baginda berkenan, baru kita boleh isytiharkan senarai nama yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Serahan Program TH Prihatin di Pejabat TH Perak di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Sementara itu, Amrin berkata, siasatan yang akan dibuat jawatankuasa RCI tersebut tidak akan mengganggu operasi dan aktiviti perniagaan TH sedia ada.

Jelas beliau, jawatankuasa itu hanya akan menyiasat pengoperasian TH bermula pada tahun 2014 hingga 2020.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua siasatan tersebut dilaksanakan oleh kerajaan dan bukan pihak pengurusan TH.

Pada 14 Julai lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH.

Penubuhan RCI antaranya untuk satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilakukan bagi memastikan TH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam.