X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Saravanan kekal Timbalan Presiden MIC

M Saravanan
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri M Saravanan mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden MIC selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding bagi penggal 2021-2024 pada pemilihan parti kali ini.

Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran mengumumkan keputusan itu selepas Saravanan muncul sebagai satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan apabila pencalonan ditutup pada pukul 5 petang ini.

Pencalonan bagi jawatan tertinggi parti melibatkan jawatan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, 21 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan majlis tertinggi peringkat negeri yang berlangsung dari 2 hingga 5 petang di Ibu Pejabat MIC di sini pada Jumaat.

Ketika ditemui pemberita, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia, berkata memperkasakan parti kaum India itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan antara fokus utama beliau dalam tempoh tiga tahun.

“Ini kali pertama saya menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti sejak mula menjejak kaki ke MIC pada 1988. Saya menganggap ini sebagai satu pengiktirafan parti kepada saya,” katanya.

Pada pemilihan parti 2018, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, dipilih sebagai Timbalan Presiden MIC selepas menewaskan bekas Pengerusi MIC Perak Tan Sri M Ramasamy setelah memperoleh 9,391 undi berbanding Ramasamy yang mendapat 5,270 undi.

Sementara itu, tiga jawatan naib presiden pula bakal menyaksikan persaingan sengit dengan enam calon merebut jawatan berkenaan pada pemilihan parti tahun ini.

Enam calon yang bertanding kerusi naib presiden ialah tiga penyandang terdiri daripada Datuk T Mohan, Datuk C Sivaraajh dan Datuk T Murugiah, Setiausaha Agung MIC Datuk M Asojan, Setiausaha Eksekutif A K Ramalingam dan Ketua Penerangan MIC Datuk V Gunalan.

Selain itu, 60 calon lagi merebut 21 kerusi CWC pada pemilihan kali ini termasuk bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan, bekas setiausaha parti Datuk Sakthivel Alagapan, bekas Ketua Pemuda MIC Thinalan Rajagopal dan Datuk N Muneandy.

Dijangka lebih 24,000 ahli jawatankuasa daripada lebih 4,000 cawangan di seluruh negara akan menunaikan tanggungjawab menentukan barisan kepimpinan pusat parti berusia 75 tahun itu pada 26 November ini.

Pada 26 Mei lepas, Vigneswaran mempertahankan jawatannya selaku Presiden MIC selepas memenangi jawatan itu bagi penggal 2021-2024 tanpa bertanding pada pemilihan parti.

Pemilihan bagi sayap parti itu pula berlangsung pada 30 Okt lepas yang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda MIC manakala Datuk Mohana Muniandy menang sebagai Ketua Wanita parti selepas menewaskan pencabarnya J Usha Nandhini.

A Kishva dan R Puvaneswary turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Putera dan Ketua Puteri parti berkenaan.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!